PULAU PINANG – Ketiadaan undang-undang khusus yang mengiktiraf gelandangan di negara ini menyukarkan pengurusan terutamanya dalam pemberian bantuan kepada golongan tersebut.

Pegawai Khas EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam, Shahrizul Muiz berkata, istilah gelandangan belum diiktiraf secara rasmi dalam perundangan negara.

Katanya, Akta Orang-Orang Papa 1977 yang sedia ada tidak mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi oleh gelandangan, terutamanya mereka yang berdepan masalah kesihatan mental, penyakit kronik, dan ketagihan dadah.

Shahrizul Muiz juga menjelaskan bahawa pada tahun 2022, kerajaan persekutuan pernah mencadangkan akta khas atau pindaan akta untuk gelandangan, tetapi hingga kini tiada tindakan lanjut diambil.

“Di Pulau Pinang, seramai 161 gelandangan berjaya diselamatkan antara Ogos 2023 hingga Januari 2024.

“Lebih separuh daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan, namun sokongan terhadap mereka terbatas kerana tiada akta yang jelas untuk membantu golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sokongan kerajaan Persekutuan bagi menggubal akta khas tersebut adalah sangat penting.

Selain itu, kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan agensi-agensi lain diperlukan bagi menangani isu itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here