PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan bantahan anak perempuan Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo berhubung pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan tidak memberi kesan besar.
Malah, Ketua Menteri berkenaan melahirkan keyakinan keputusan menamakan Dr. Mahathir itu disokong majoriti ahli DAP yang lain.
“Ahli DAP yang setia akan sokong, namun ada yang berpura-pura berada dalam parti tetapi tidak sokong keputusan parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Sangeet Kaur mempersoal keputusan Pakatan Harapan menamakan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara sekiranya berjaya merampas Putrajaya yang disifatkan beliau seolah-olah pembangkang ketandusan pemimpin muda.
Menurut Sangeet Kaur, pemilihan itu juga menunjukkan Pakatan Harapan kekurangan strategi dan menegaskan tumpuan sepatutnya ditumpukan kepada soal dasar dan prinsip.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan Parti Amanah Rakyat (Amanah) Johor yang membantah mengenai pembahagian kerusi, Guan Eng menegaskan keputusan mengenai perkara itu dibuat berdasarkan persetujuan semua pihak dalam Pakatan Harapan.
“Kita tahu Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR juga mahu kerusi lebih, tetapi kita berjaya ketepikan perbezaan,” katanya.
Semalam, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hasan mendesak pemimpin Pakatan Harapan mengkaji semula agihan kerusi kerana menyifatkan pemberian dua kerusi di Pulai dan Parit Sulong kepada parti berkenaan sebagai tidak munasabah. – MalaysiaGazette
Comments are closed.