PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mengumumkan keputusan Kabinet untuk menamatkan monopoli Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas) sebagai pengimport beras.
Sehubungan dengan itu, katanya, beliau diarahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menyediakan kertas kerja bagaimana untuk memecahkan monopoli tersebut dengan mengambil kira maklum balas kementerian serta pihak yang berkepentingan untuk dibentangkan kepada Kabinet.
Beliau berkata, dalam usaha untuk menjaga kepentingan penanam padi tempatan, pihaknya telah mengenal pasti modul yang digunakan oleh negara luar, antaranya Indonesia yang telah berjaya memecahkan monopoli pengimportan beras.
“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian berhubung dengan seluruh agensi bagi mengenalpasti beberapa model pengeluaran beras secara terbuka yang diamalkan negara luar,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet semalam.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, keputusan menamatkan monopoli Bernas selama tiga hingga empat dekad itu dihentikan selepas hujah relevan dikemukakan kepada perdana menteri.
“Selain Bernas, semua yang kita anggap monopoli akan disemak sama ada akan dikekalkan atau dirombak,” katanya. – MalaysiaGazette