Wong Kum Fatt mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebabkan kematian seorang lelaki di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan menyebabkan kematian ke atas seorang lelaki dengan cara memukul perut dan muka pada 5 Mei lalu.

Tertuduh, Wong Kum Fatt, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian ke atas Nyeoh Sin Keng, 53, dengan cara memukul muka dan perut berulang kali sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan tumpul pada muka serta pendarahan termasuk lemas akibat aspirasi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 11.30 malam pada 5 Mei lalu di Taman Tanjung Indah di sini.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Ang Chu Pun yang mewakili tertuduh mohon jaminan minima atas alasan anak guamnya sudah berusia selain tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan hanya mengharapkan wang bulanan daripada anak-anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 13 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast