Peliknya, sehingga kini walaupun pelbagai jenis keputusan dan pengumuman dibuat namun sehingga ini tidak ada sesiapa yang mahu duduk berbincang dengan pakar atau pemain industri yang dekat dengan rakyat, yang arif dengan keadaan sekitar.
Peliknya, sehingga kini walaupun pelbagai jenis keputusan dan pengumuman dibuat namun sehingga ini tidak ada sesiapa yang mahu duduk berbincang dengan pakar atau pemain industri yang dekat dengan rakyat, yang arif dengan keadaan sekitar. - Jacob George

KUALA LUMPUR – Pengumuman Suruhan Tenaga tentang kenaikan tarif elektrik pengguna komersial berkuatkuasa hari ini mengundang kebimbangan seandainya harga barangan meningkat sehingga membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Malah menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr Jacob George pengumuman kenaikan ini sebenarnya mengecewakan kerana justifikasi keputusan sebenarnya ‘meragukan’.

Kata beliau, alasan tarif elektrik pengguna komersial tidak dinaikkan beberapa tahun kebelakangan ini bukan sesuatu yang boleh diterima pakai terutamanya apabila 100 hari yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan masih belum tamat tempoh.

“Sudah tentu harga barangan akan meningkat apabila tarif dinaikkan. Selama ini pun, jika anda lihat, apabila sesuatu harga seperti gula sebagai contoh kita juga lihat bagaimana roti canai serta teh tarik naik harga juga.

“Tentu tarif elektrik ini juga akan membuat segelintir pihak yang sentiasa mengambil peluang dengan menaikkan harga barangan jualan masing-masing apabila berlakunya peningkatan kadar caj bahan api, elektrik dan air.

“Walaupun peningkatan tarif elektrik ini hanya babitkan sektor komersial tetapi pastinya para peniaga meletakkan kos berkenaan ke atas pengguna, akhirnya akan membebankan rakyat jelata sendiri.

“Mengapa keputusan sebegini diambil tanpa mengadakan perbincangan terdahulu dengan pemain industri terlebih dahulu? Apa keperluan untuk naikkan tarif elektrik ketika ini? Kerajaan baru pun belum habis 100 hari lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas George, para peniaga yang bergantung kepada elektrik untuk menjana pendapatan berkemungkinan besar akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik berkenaan.

“Industri elektronik atau yang membabitkan penggunaan alatan seperti mesin atau jentera juga pasti terkesan dengan peningkatan tarif itu yang akan meningkatkan kos operasi. Sudah tentu ianya akan menyebabkan harga barangan juga meningkat. Jangan anggap mudah,” tegasnya.

Tambah beliau, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, adalah lebih baik perkara ini dielakkan kerana kos sara hidup pasti meningkat.

“Saya sangat berharap keputusan untuk naikkan tarif elektrik ini akan dibekukan untuk sementara waktu sehingga berbincang dengan pihak berkepentingan supaya pengguna tidak terbeban berikutan peningkatan harga barangan. Perlu melihat isu ini dengan lebih luas.

“Peliknya, sehingga kini walaupun pelbagai jenis keputusan dan pengumuman dibuat namun sehingga ini tidak ada sesiapa yang mahu duduk berbincang dengan pakar atau pemain industri yang dekat dengan rakyat, yang arif dengan keadaan sekitar.

“Walaupun bukan secara terbuka, sekurang-kurangnya secara tertutup atau sesi dialog di mana kita juga boleh menceritakan impak seandainya keputusan sebegini di buat terutamanya dengan mendadak. Yang terjejas adalah pengguna dan rakyat, itu adalah kepentingan.

“Sekiranya kerajaan sedang berdepan dengan krisis, beri pemahamaan kepada kita. Bagi kita faham supaya kita boleh bekerjasama. Masalahnya, kami sendiri tidak tahu apa yang sedang yang berlaku. Ini isu rakyat bukan kepentingan politik,” tegasnya.

Tarif elek­trik pengguna komersial termasuk pengguna domestik yang menggunakan elek­trik melebihi 300kWj sebulan di Semenanjung Malaysia akan terkesan ekoran keputusan Suru­hanjaya Tenaga mengenakan surcaj tambahan sebanyak 1.35 sen/kWj bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.

Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kos bahan api dan penjanaan elektrik yang tinggi.

Dalam kenyataan tersebut, kerajaan menetapkan surcaj tambahan iaitu kos tidak berimbang (ICPT) tersebut harus dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh hari ini sehingga 31 Disember ini. – MalaysiaGazette 

Baca Selanjutnya:

Menteri jangan memandai-mandai kata harga barang turun 30 hingga 50 peratus – Cassa

Penjaja ada alasan tidak turun harga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast