KUALA LUMPUR – Kegagalan pihak berwajib dalam menyediakan infrastruktur merupakan punca utama kemalangan melibatkan seekor anak gajah dengan lori kontena di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi kelmarin.
Pertubuhan pengguna luar bandar, RURAL Malaysia berkata, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku namun sehingga kini tiada langkah mitigasi diambil untuk mengatasi isu berkenaan.
Setiausaha Agungnya, M.S. Anuar Mahmod menegaskan, pelaksanaan langkah mitigasi dan pembinaan infrastruktur adalah satu keperluan mendesak memandangkan kawasan tersebut merupakan habitat utama bagi spesies terancam seperti gajah Asia.
“JRTB telah sekian lama dikenali sebagai laluan maut untuk hidupan liar, namun tiada pelaksanaan langkah mitigasi yang menyeluruh dilaksanakan hingga ke hari ini.
“Kami menuntut tindakan segera termasuk pembinaan lintasan hidupan liar, pagar keselamatan dan pemasangan papan tanda amaran di kawasan-kawasan panas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/05/11/ibu-gajah-tidak-berganjak-lihat-anak-mati-digilis-lori/
Beliau memberi respons terhadap video tular yang menunjukkan seekor ibu gajah enggan berganjak daripada bangkai anaknya yang tersepit di bawah lori kontena.
Selain itu, RURAL Malaysia turut mendesak supaya had laju dikurangkan di kawasan berisiko tinggi serta pemantauan trafik diperketatkan melalui pemasangan kamera kelajuan dan rondaan berkala oleh pihak berkuasa.
“Dalam masa yang sama, pendidikan kepada masyarakat setempat dan pemandu juga perlu diberi perhatian.
“Kesedaran awam adalah elemen penting dalam mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” tambahnya.
JRTB yang merentasi kawasan hutan simpan dan koridor ekologi utama menjadi laluan pergerakan utama pelbagai spesies liar.
Namun, kekurangan infrastruktur sokongan menjadikannya kawasan pertembungan yang kerap antara haiwan dan kenderaan berat.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa insiden serupa telah direkodkan, namun, hanya sedikit penambahbaikan dilaksanakan dan tidak meliputi kawasan kritikal secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh lagi menunggu sehingga berlaku satu lagi tragedi.
“Tindakan tegas dan pelaksanaan dasar mitigasi mesti dibuat sekarang untuk menjamin kelangsungan hidup hidupan liar negara ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















