Tujuh orang Pegawai Tadbir dan Diplomatik termasuk salah seorang bergelar Datuk yang menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan dibawa SPRM bagi mendapatkan perintah tahanan reman berhubung penyelewengan dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 28 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Tujuh penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Kesemua suspek ditahan terdiri daripada enam orang Pegawai Tadbir dan Diplomatik manakala seorang lagi difahamkan bergelar Datuk dan berpangkat JUSA B dan berjawatan Timbalan Ketua Pengarah dalam Bahagian Penyelidikan dari JPM.

Individu bergelar Datuk itu ditahan semasa hadir beri keterangan di ibu pejabat SPRM manakala yang lain ditahan di JPM antara pukul 12 tengahari dan 10 malam semalam.

Kesemua tujuh suspek itu dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM pukul 9.05 pagi.

Mereka berpakaian lokap berwarna oren dan tangannya digari dan menutup muka mereka daripada dirakam jurugambar dan juruvideo yang menunggu sejak pukul 8.30 pagi lagi.

SPRM telah mendapatkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini untuk menyiasat kesemua suspek itu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim telah mengeluarkan perintah reman itu ke atas tujuh suspek itu untuk siasatan lanjut SPRM.

Permohonan reman dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.

Pegawai PTD yang berjawatan Timbalan Ketua Pengarah berkenaan juga merupakan individu nombor dua dalam Organisasi Perisikan Luar Malaysia (ME10) selepas bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Hasanah Abdul Hamid telah diambil keterangan oleh polis dalam siasatan kebocoran surat rahsia Agensi Risikan Pusat (CIA)Amerika Syarikat baru baru ini.

Dalam dakwaan itu Hasanah didakwa menulis surat kepada CIA sebagai meraih sokongan untuk kepimpinan Barisan Nasional di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak menang PRU14 yang kemudian dinafikan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Pada 8 Ogos lalu, SPRM menahan 17 individu terdiri daripada pegawai dan pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri kerana disyaki menyalahgunakan wang peruntukan PRU14 sebanyak RM3.5 juta untuk tujuan peribadi.

Mereka yang ditahan secara berasingan semasa hadir memberi keterangan di SPRM Putrajaya merupakan seorang Pegawai Keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan berusia antara 31 dan 51 tahun.

Turut disita wang tunai berjumlah RM840,700 dan sembilan motosikal milik suspek yang dianggarkan bernilai RM90,000.

Kesemua suspek tersebut direman selama lima hari sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 sebelum dibebaskan secara berperingkat dengan jaminan SPRM pada 13 dan 14 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast