KUALA LUMPUR – Satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei depan bagi membincangkan kesan tindakan balas ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.
Parlimen Malaysia memaklumkan mesyuarat itu diadakan atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menurut Peraturan Mesyuarat 11(3).
“Urusan Mesyuarat Khas ini adalah Penerangan daripada Menteri-Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berkaitan perkara-perkara antaranya tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara tersebut serta kesannya terhadap ekonomi Malaysia dan tindak balas kerajaan merentasi pelbagai kementerian dan sektor termasuk penyelarasan penyelesaian jangka pendek dan sederhana serta semakan semula dasar-dasar industri tertentu,” kata Palimen dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, mesyuarat khas tersebut juga akan membincangkan perancangan jangka panjang ekonomi negara dalam menghadapi impak perang perdagangan antarabangsa demi memastikan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka masa mendatang.
Mesyuarat itu diadakan bertujuan untuk menangani isu-isu semasa yang mendesak serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Antara urusan utama dalam mesyuarat ini termasuk penerangan oleh menteri-menteri berkaitan mengenai langkah dan tindak balas kerajaan terhadap tindakan Amerika Syarikat tersebut.
Ahli Parlimen juga turut dibenarkan untuk meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka semasa sesi penerangan berlangsung.
Ini bagi memastikan perbincangan yang holistik dan inklusif dapat dilaksanakan demi kepentingan negara.
“Mesyuarat ini dijangka akan memberi ruang kepada perbahasan yang konstruktif serta penyampaian maklumat yang telus kepada rakyat mengenai langkah Kerajaan dalam mendepani cabaran ekonomi global semasa,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette