Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri Tahun 2019 di Dewan Auditorium, Kompleks D, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa kontrak pelaksanaan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN)  telah diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah tidak benar.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian merujuk kepada laporan “MACC probing if Immigration DG post changes linked to RM3.5 bil deal”.

“KDN pada masa ini masih membangunkan skop dan spesifikasi sistem tersebut dan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri perolehan bagi pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka.

“Dokumen akhir tender dijangka siap pada bulan April tahun ini. Sehingga kini, tidak ada mana-mana syarikat yang telah dianugerahkan kontrak tersebut seperti yang didakwa dalam laporan Malaysiakini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin juga menyangkal tuduhan bahawa pertukaran Ketua Pengarah Imigresen mempunyai kaitan dengan keputusan kerajaan membatalkan perjanjian konsesi dengan Syarikat Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB).

“Tuduhan ini adalah berniat jahat dan tidak benar sama-sekali. Ia mungkin sengaja dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan yang tidak berpuashati dengan cadangan KDN untuk membatalkan projek SKIN yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

“Syor oleh kementerian saya telah dibuat dengan amat teliti dan dibawa untuk pertimbangan kabinet sebanyak empat kali. Ia tidak dibuat secara sewenang-wenang. Hasilnya, KDN telah menyelamatkan wang kerajaan yang dianggarkan berjumlah hampir RM1 billion.

“Saya tidak akan sekali-kali berkompromi dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa. KDN akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan mengenai sebarang dakwaan salah laku yang melibatkan kementerian ini.

“Saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan mensabotaj kerajaan yang dibuat oleh mana-mana pihak dengan melemparkan tuduhan melulu dan tidak berasas,” ujar Muhyiddin.

Terdahulu dalam laporan Malaysiakini itu mendakwa kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion yang dibatalkan oleh KDN tahun lalu telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat lain yang mempunyai kaitan dengan seorang pegawai kanan KDN.

Pertukaran Ketua Pengarah Imigresen baru-baru ini dikatakan ada kaitan dengan perkara ini.- MalaysiaGazette