KUALA LUMPUR – Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengisytiharkan pelan dan inisiatif yang dapat meningkatkan kebajikan serta status kehidupan golongan veteran yang selama ini dikatakan dipinggir kerajaan terdahulu.
Pengerusinya, Azizan Salleh berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi menggunung kepada kerajaan baharu menerusi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu supaya dapat menangani beberapa isu yang berkaitan dengan kebajikan mereka, balu dan anak-anak.
“Kami memasang impian dan cita-cita berlaku perubahan dalam kehidupan golongan veteran yang rata-rata pencen dan berhenti dari perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Lain-Lain Pangkat (LLP).
“Namun, sehingga kini, selepas sembilan bulan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan, tidak ada apa yang mereka lakukan untuk kami. Keadaannya masih samar,” katanya pada sidang media di tapak Tugu Pahlawan hari ini.
Azizan berkata, beberapa isu berkaitan Kementerian Pertahanan seperti Bouested Berhad yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan skandal besar pembelian peralatan pertahanan masih lagi di peringkat siasatan.
Malah, katanya, dapatan awal mengenai kes besar itu belum didedahkan kepada masyarakat awam.
“Ini menyebabkan rakyat binggung dan tertanya-tanya serta beranggapan kerajaan PH lembab dan leka dalam melaksanakan tugas mereka bagi membawa penjenayah ke muka pengadilan.
“Malah, kerajaan PH seolah tidak mempunyai idea dan cadangan baru untuk meningkatkan kebajikan golongan veteran.
“Pelbagai alasan diberikan seperti tempoh pemerintahan yang masih baharu dan beberapa inisiatif akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
Kata Azizan, dalam suasana politik masa kini, rakyat ingin melihat kesungguhan kerajaan mengubah status kehidupan mereka, bukan berita muat turun gambar pegawai kementerian di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan media sosial lain.
Katanya, sehingga kini warga veteran masih tertunggu-tunggu apakah hala tuju kementerian dalam menjaga kebajikan mereka.
“Kita menuntut pejabat Menteri Pertahanan dapat membentangkan hala tuju veteran yang lebih jelas supaya kebajikan veteran ATM dapat dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi.
“Bukan menyelesaikan isu berkaitan veteran secara runcit atau ketika berlaku musibah sahaja. Kami menuntut cara dan kaedah penyelesaian isu berkaitan veteran secara lebih menyeluruh dan bertanggungjawab,” katanya lagi.
Azizan berkata, kerajaan sepatutnya sedar majoriti veteran adalah dari kalangan anggota LLP yang berjuang meninggalkan ahli keluarga dan anak demi mempertahankan negara.
Kata beliau, dalam kalangan mereka, kumpulan veteran LLP adalah paling terdedah kepada kesukaran hidup dan peningkatan kos sara hidup kerana menerima jumlah wang pencen yang rendah dan sesetengah dari mereka bersara awal serta tidak berpencen.
Ujarnya, perubahan dasar atau pembentukan pelan kebajikan yang melibatkan veteran sangat mempengaruhi kehidupan mereka. – MalaysiaGazette
[…] ARTIKEL BERKAITAN: Veteran ATM desak PH isytihar pelan kebajikan […]