Mata wang ringgit dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh sederhana sehingga global jelas dengan dasar-dasar pentadbiran bakal Donald Trump.
Donald Trump bakal menggantikan Presiden Barack Obama pada 20 Januari depan.
Penganalisis pasaran tempatan, Nazarry Rosli berkata, sukar untuk meramalkan kedudukan ringgit pada waktu ini tetapi ringgit dijangka berada sekitar 4.50 dan 4.80 berbanding dolar.
“Jangka masa mungkin dalam tempoh sederhana…mungkin capai tempoh tiga bulan atau lebih.
“Ini kerana pasaran masih belum dapat mengikut ‘rentak dan emosi’ Trump. Ditambah pula Trump tidak konsisten dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum dan selepas pilihan raya presiden,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ringgit ditutup lebih rendah pada 4.285 berbanding dolar pada Jumaat lalu sementara matawang-matawang kontrak hadapan tidak boleh serah (NDF) jatuh 2.5 peratus berbanding sebelumnya 4.487 bagi setiap dolar, menjadikan ringgit mata wang di ASEAN kedua paling teruk setakat ini.
“Sejak pilihan raya, keluk hasil AS telah semakin curam mencerminkan jangkaan pasaran terhadap kesan janji-janji kempen Trump.
“Turun naik nilai mata wang dijangka kekal sehingga dasar-dasar ekonomi dan perdagangan pentadbiran Amerika Syarikat boleh diketahui pada tempoh 100 hari pemerintahannya.
“Apa pun, timbul persoalan sama ada asas fundamental ringgit boleh diatasi dan ringgit kembali pulih pada paras pra pilihan raya Amerika Syarikat,” ujarnya. – MalaysiaGazette