Penguatkuasa dari Kementerian Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna mengadakan pemeriksaan di Pasar Sungai Besi.

Sejak Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang Runcit mendedahkan kenaikan harga minyak masak pada 19 Oktober lalu, jumlah botol-botol minyak yang dijual di pasar raya besar, pasar raya, kedai-kedai semakin hari semakin menyusut.

Kurang 48 jam lagi harga minyak masak akan dinaikkan, botol-botol minyak masak langsung tidak kelihatan di rak-rak. Yang kelihatan adalah minyak jagung, minyak zaitun, minyak karotena. Minyak masak paket memang berlambak-lambak.

Kalau sebelum ini biasanya minyak masak paket kurang kelihatan tetapi sejak dua minggu lalu, berkotak-kotak minyak masak paket diletakkan di atas rak-rak.

Bila diajukan kenapa minyak masak tidak dijual, jawapan yang diterima daripada pekerja-pekerja pasar raya atau kedai sama sahaja, “pembekal tidak hantar bekalan”.

Penulis juga sama seperti suri rumah yang lain jenuh mencari minyak masak apabila menyedari bekalan yang ada di rumah tinggal suku botol sahaja. Dari pasar raya besar, kedai runcit biasa hinggalah ke pasar, sebotol pun tidak ada.

Nasib penulis baik apabila terlintas untuk memasuki Kedai 1Malaysia di UTC Dato’ Keramat, Rabu lalu. Ketika sedang mencari barang, ternampak ada tiga botol minyak masak jenama 1Malaysia seberat 5 kilogram di atas rak. Di tepi rak itu pula ada notis yang memaklumkan setiap pelanggan dibenarkan hanya membeli dua botol sahaja.

Terdetik juga hendak mengambil dua botol tetapi memikirkan pelanggan lain juga memerlukan, penulis hanya beli sebotol sahaja.

Ternyata telahan penulis betul, ketika sedang menunggu giliran membayar minyak yang dibeli, ada dua pelanggan lain mengambil minyak tersebut. Pelanggan wanita yang berjaya mendapatkan minyak itu sempat menarik nafas lega kerana dapat membeli salah satu barang terpenting di dapur.

Sebelum pendedahan mengenai harga minyak, bekalan itu sentiasa ada. Itu diakui oleh pekerja pasar raya, malah pekedai runcit juga. Rata-rata mereka mengakui bekalan minyak masak tidak pernah menjadi masalah.

“Selalunya saya ambil 50 botol daripada pembekal, bekalan itu cukup untuk tempoh dua minggu,” kata Mukmin Zahit, pemilik kedai pasar raya segar di Ampang.

Namun, selepas heboh tentang kenaikan minyak, bekalan yang beliau dapat semakin berkurangan kepada 23 botol sahaja.

“Lebihan bekalan sedia ada, dicampur dengan 23 botol minyak itu dijual tidak sampai seminggu. Sekarang langsung tidak ada stok. Yang banyak minyak masak paket,” tambahnya.

Meskipun minyak paket berlambak di pasaran ada dan harganya lebih murah, pelanggan yang mementingkan kualiti minyak sudah tentu mencari-cari juga minyak masak botol.

Ini kerana minyak masak botol kualitinya lebih baik, kebersihan terjamin dan pengesahan halal. Selain boleh digunakan sekurang-kurangnya dua kali, minyak masak botol juga tidak berbuih ketika dimasak.

Mulai 1 November ini, harga minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran dan harga minyak masak paket 1 kilogram (kg) kekal RM2.50.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika mengumumkan perkara itu baru-baru ini berkata, kadar itu berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) berikutan kenaikan harga minyak sawit yang diproses (olein) dari RM2,341 satu tan pada Januari tahun lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sekarang.

Biarpun tidak puas hati dengan kenaikan harga minyak, rata-rata pengguna Malaysia terpaksa akur tentang perkara itu.

Pengguna terima kenaikan itu seperti mana rasionalisasi harga minyak petrol dan diesel serta gula.

Walaupun payah, pengguna terpaksa memahami keputusan kerajaan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani sebelum ini memberitahu, kerajaan mengeluarkan subsidi hampir 85,000 tan metrik sebulan tetapi penggunaan minyak masak di Malaysia hanyalah sebanyak 40,000 tan metrik sebulan.

Selebihnya, minyak masak itu dipercayai diseludup ke negara jiran.

Johari berkata, untuk setiap tan metrik minyak masak, kerajaan membelanjakan RM1,000 subsidi, bermakna lebihan 45,000 tan metrik minyak masak menyebabkan kerajaan membelanjakan nilai subsidi sebanyak RM45 juta sebulan atau RM540 juta setahun.

Walaupun kos hidup semakin tertekan dengan kenaikan demi kenaikan, apa pilihan yang pengguna ada kecuali belajar berbelanja secara berhemah dengan menyelaraskan perbelanjaan bulanan.

Cuma pengguna tertanya-tanya apa yang penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) buat ketika pengguna bekalan minyak masak tidak ada dalam pasaran? Bukan dua hari pasaran kekurangan bekalan minyak, tetapi dua minggu.

Situasi sama ini juga berlaku ketika rasionalisasi gula.

Kepada KPDNKK ramai yang ingin tahu, di manakah penguatkuasa kementerian ketika para pengguna menghadapi situasi ini?

Tidak kiralah bila harga minyak akan dinaikkan tetapi sebagai kementerian yang diberi amanah untuk bertanggungjawab kepada segala perihal pengguna, mana peranan anda?

Hendak dikatakan KPDNKK tidak mengetahui tentang kekurangan stok, sudah tentu tidak masuk akal apabila hampir setiap hari media cetak, elektronik mahu pun media sosial melaporkan tentang isu itu.

Soalnya adakah KPDNKK prihatin tentang isu itu? Jika kementerian itu mengambil berat sudah tentu kekurangan bekalan tidak berlaku di pasar raya atau kedai runcit.

Apabila isu-isu kepenggunaan ditimbulkan dan tidak diambil perhatian, lantas yang menjadi mangsa kecaman adalah kerajaan secara menyeluruh.

Tidak boleh salahkan pengguna kerana memang jelas peranan KPDNKK menjaga isu-isu kepenggunaan. Peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh KPDNKK tidak sampai dihati dan mata pengguna.

Bukan hendak membandingkan, tetapi itulah hakikat yang perlu diakui. Penulis masih teringat ketika Datuk Pahamin Rajab menjadi ketua setiausaha kementerian lewat 1990an.

Jangan kata pembekal sorokkan barang, pekedai atau peruncit yang menipu pelanggan akan ‘dijejaki’ seawal pagi oleh beliau.

Tidak perlu datang dengan segerombolan penguatkuasa atau diiringi sekumpulan media. Ketegasan suara dan wajahnya sudah cukup menggerunkan. Dalam seminggu beberapa kali Pahamin turun padang. Tidak cukup pasar raya digegarnya, kedai-kedai runcit dan pasar turut diintipnya.

Itu kisah lama dan Pahamin adalah sejarah lampau KPDNKK.

Dan sebagai pengguna, penulis dan rakyat Malaysia yang lain kini menaruh harapan agar Menteri KPDNKK berpegang kepada kenyataannya pada sidang akhbar tempoh hari.

“Jangan risau pengawalan harga minyak dan barangan di kedai makan melambung…tidak perlu risau. Sebab KPDNKK ada,” kata Hamzah.

Daripada kenyataan itu, penulis dapat mengagak, Menteri KPDNKK prihatin tentang kebimbangan pengguna akan kesan berantai kenaikan harga minyak nanti.

Tetapi, prihatin sahaja tidak cukup. Keprihatinan Menteri KPDNKK perlu ditunjukkan dengan tindakan kerana para pengguna ‘semakin jauh hati’ apabila isu-isu pengggunaan tidak mendapat perhatian seperti yang diharapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast