Harith Iskander.

Pelawak popular, Harith Iskander, yang meraih gelaran Funniest Person in the World anjuran Laugh Factory di Finland minggu lalu, mahu berkongsi jenakanya untuk menyatukan masyarakat di seluruh dunia.

Harith, yang terlibat dengan lawak solo selama 26 tahun, berkata beliau sering berkongsi anekdot mengenai kehidupan di Malaysia, dan tidak menyentuh isu sensitif seperti agama, politik dan seks dalam persembahannya.

“Dalam komedi solo, kita perlu memegang kepada nilai budaya dan moral selain bakat untuk berjenaka bagi membolehkan penonton ketawa.

“Ramai pelawak yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu kagum melihat saya tidak menggunakan jenaka seks dan politik dalam persembahan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sekembalinya dari Finland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Rabu.

Ketibaan Harith, yang ditemani isteri merangkap pengurusnya, Dr Jezamine Lim Iskander disambut oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Sebagai pemenang gelaran itu, Harith memperoleh US$100,000 (RM448,000) serta melakukan persembahan komedi dalam jelajah di Amerika Syarikat selain liputan luas media seluruh dunia.

“Peluang untuk ke Amerika serta membuat kira-kira 10 persembahan di sana akan saya gunakan untuk meletakkan lawak solo Malaysia di peta dunia.

“Sewaktu jelajah itu yang akan bermula sebelum Krimas, saya mahu mencipta nama bagi diri sendiri dan Malaysia di pentas antarabangsa.

“Lawak solo Malaysia sangat dikenali di Asia Tenggara dan Asia, inilah masa untuk saya membawa industri komedi negara di pentas dunia,” katanya.

Harith menjelaskan lawak solo bukan semudah naik ke pentas dan membuat persembahan di depan penonton, sebaliknya seseorang pelawak perlu menghabiskan berjam-jam atau berbulan-bulan untuk mendapat kemahiran itu selain membaca bagi menambah pengetahuan.

“Saya sering menyediakan jenaka lebih awal, bukannya secara spontan. Setiap kali persembahan, saya merancang dua bulan lebih awal serta mengkaji sesiap penonton saya,” katanya.

Mengenai cabarannya di Finland, Harith mengakui bukan mudah menyediakan bahan untuk memenuhi cita rasa penonton antarababangsa, selain berdepan cuaca di bawah 12 darjah celsius di bawah paras beku.

“Tekanan kali ini juga lebih tinggi kerana saya sedar ramai rakyat Malaysia serta penyokong saya tidak sabar menunggu persembahan di sana dan memenangi gelaran itu,” katanya.

Harith, yang akan membimbing muka baharu yang berminat menyertai pertandingan itu pada 2018, menasihatkan mereka untuk terus mengasah bakat dan tetap menjadi diri sendiri sewaktu di atas pentas.

Menurut Harith, beliau ada berbual dengan pengasas dan Presiden Laugh Factory, Jamie Masada untuk membolehkan Malaysia menganjurkan pertandingan Funniest Person in the World pada 2018.

Harith berkata Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz turut menghulurkan bantuan dengan menaja perjalanan dan tempat tinggal, manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak memberikan sokongan moral dan kara-kata semangat kepadanya.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast