Industri perbankan di Malaysia dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun depan, meningkat daripada sentimen negatif yang dijangka berterusan pada separuh pertama 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif AMMB Holdings Bhd, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.
Sulaiman berkata, ketidaktentuan global yang dicetuskan oleh pelbagai isu seperti Brexit dan pungutan suara Itali, telah menyebabkan pelabur tidak pasti apakah yang akan berlaku seterusnya.
“Apabila wujud ketidaktentuan, orang ramai akan menarik diri. Bila pelabur lebih jelas mengenai keputusan Brexit dan apa yang berlaku di Kesatuan Eropah, diharapkan pelabur berada dalam kedudukan lebih baik untuk melabur, sama ada di Malaysia atau negara lain,” katanya.
Sulaiman berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kempen #JoyFortuneLove dengan Kad AmBank di sini, Rabu.
Beliau berkata, AmBank dijangka mencatat pertumbuhan pinjaman lebih baik antara empat dan lima peratus pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017, dua kali ganda yang dicatat pada tahun kewangan lepas.
“Ini akan dibantu permintaan lebih tinggi daripada projek infrastruktur.
“Transit Aliran Massa, lebuh raya dan projek kereta api laju akan merangsang permintaan tempatan dan mewujudkan kesan sampingan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Permintan itu akan dipacu secara dalaman dan perbelanjaan dalaman yng diperuntukkan kerajaan dalam tempoh setahun akan datang,” katanya.
Mengenai pinjaman PKS, Sulaiman berkata, segmen itu akan berkembang antara tujuh dan lapan peratus tahun ini, berbanding 13 hingga 14 peratus tahun lalu.
“Dalam tempoh dua tahun lepas, pinjaman PKS meningkat kira-kira 13.9 peratus. Tahun ini kami menjangka pertumbuhan lebih rendah disebabkan ekonomi yang lebih lembap, tetapi lebih baik berbanding yang dicatat korporat besar.
“Keseluruhannya, pertumbuhan pinjaman industri perbankan dijangka mencatat kira-kira lima peratus,” katanya.
Mengenai segmen kad kredit, Pengarah Urusan Perbankan Runcit Kumpulan, Jade Lee berkata, bank itu merancang mendaftar 50,000 pemegang kad kredit baharu setahun.
Menurutnya, setakat 30 November 2016 AmBank mempunyai lebih 400,000 pemegang kad kredit dengan purata perbelanjaan RM7,000 setiap kad.
“Pemegang kad kami meningkat lebih 100 peratus, jauh lebih tinggi daripada prestasi industri yang kini mencatat pertumbuhan dua angka,” katanya.
Kempen kumpulan itu yang bermula 1 November 2016 hingga 31 Mac 2017 bertujuan memberi ganjaran kepada pelanggan yang setia.
Kempen itu menawarkan peluang kepada dua pemegang kad kredit untuk memenangi Audi TT 2.0 TFSI setiap seorang sebagai hadiah utama, apabila mereka membelanjakan RM50 dalam satu resit menggunakan kad kredit AmBank. – MalaysiaGazette