China dikatakan telah memasang sistem persenjataan, termasuk sistem anti pesawat dan sistem anti peluru berpandu, di kesemua tujuh buah pulau buatan yang dibinanya di Laut China Selatan, lapor badan pemikir Amerika Syarikat (AS) berdasarkan daripada imej satelit.

Inisiatif Transperansi Maritim Asia (The Asia Maritime Transparency Initiative – AMTI) di Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa berkata, penemuannya itu diperoleh walaupun pemimpin China menyatakan Beijing tidak berniat untuk menjadikannya pulau tentera di laluan perdagangan strategik, di mana walayah tersebut dituntut oleh beberapa negara.

AMTI berkata, ia telah mengesan pembinaan struktur berbentuk heksagonal di terumbu Fiery Cross, Mischief dan Subi di kepulauan Spratly sejak Jun dan Julai lalu. China telahpun membina landasan terbang di pulau-pulau tersebut.

“Struktur itu kini kelihatan mengalami evolusi dalam bentuk pertahanan iaitu kubu yang mana China telah membina kemudahan yang lebih kecil di terumbu Gaven, Hughes, Johnson dan Cuarteron,” katanya berdasarkan kepada imej yang diambil pada November lalu yang didedahkan kepada Reuters.

“Model ini telah melalui evolusi lain dengan asas yang lebih besar di terumbu Fiery Cross, Subi dan Mischief,”.

Gambar satelit terumbu Hughes dan Gaven menunjukkan pesawat anti senjata yang berkemungkinan merupakan Sistem Persenjataan Tertutup (CIWS) bagi melindungi pulau itu daripada serangan peluru berpandu, katanya.

Imej terumbu Cross Reef menunjukkan menara yang mungkin dilengkapi radar sasaran, katanya.

AMTI berkata, menara di terumbu Fiery Cross telah ditutup dengan sesuatu (bagi mengelak daripada dikesan) tetapi saiz platformnya mencadangkan mereka menyembunyikan sistem pertahanan sama yang terdapat di terumpu yang lebih kecil.

“Senjata ini dan kemungkinan lokasi CIWS menunjukkan Beijing mengambil serius mengenai pertahanan pulau buatan di Laut China Selatan,” katanya.

“Perkara lain, ia adalah benteng terakhir pertahanan terhadap pelancaran peluru berpandu AS atau pihak lain terhadap operasi pengkalan udara ini pada masa depan,”.

Pengarah AMTI, Greg Poling berkata, pihaknya menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk mengenalpasti tujuan pembinaaan struktur itu.

“Ini merupakan kali pertama kami yakin untuk menyatakan bahawa ia adalah lokasi anti pesawat dan CIWS. Kami tidak tahu bahawa mereka mempunyai sistem sebegini besar dan terkini di sana,” katanya kepada Reuters.

“Ia adalah langkah konflik ketenteraan. China boleh berbalah bahawa ia untuk pertahanan tetapi jika anda membina senjata anti pesawat yang besar dan meletakkan CIWS ia bermakna anda sedang bersedia untuk menghadapi konflik pada masa depan,”.

“Mereka sentiasa berkata mereka tidak mengorak langkah konflik ketenteraan tetapi mereka mungkin mengerahkan jet pejuang dan peluru berpandu darat ke udara esok jika mereka mahu melakukannya,” katanya.

“Kini mereka mempunyai semua kelengkapan infrastruktur untuk menayangkan lingkaran pertahanan dan kekuatan,”.

Laporan itu berkata, pemasangannya mungkin untuk menyokong pertahanan dengan mengerahkan platform kenderaan peluru berpandu darat ke udara (SAM) seperti sistem HQ-9 yang dihantar ke Pulau Woody di kepulauan Parcel, lebih jauh di utara laut China Selatan.

Memetik laporan Fox News baru-baru ini, dijangkakan penghantaran seperti itu boleh dilakukan ‘pada bila-bila masa’ memandangkan komponen untuk sistem SAM telah dikesan di tenggara pelabuhan China, Jieyang, yang mana lokasi penghantarannya mungkin ke Laut China Selatan.

China berkata, pembinaan ketenteraan di pulau-pulau itu akan dihadkan kepada keperluan pertahanan.

AS mengkritik tindakan itu dengan menyifatkannya sebagai langkah menuju konflik ketenteraan maritim yang lebih jauh dan menekan perlunya ada kebebasan pelayaran dengan melakukan pengawasan udara dan laut berhampiran kawasan China, mencetuskan kemarahan Beijing.

Bakal Presiden AS, Donald Trump yang akan memasuki pejabat pada 20 Januari ini juga mengkritik tingkah laku China di Laut China Selatan sambil memberi bayangan beliau mungkin menerapkan pendekatan yang lebih keras terhadap tingkah laku China di rantau ini berbanding Barack Obama.

Jabatan Negara AS berkata, ia tidak membuat ulasan mengenai perkara-perkara berhubung perisikan, namun jurucakapnya, John Kirby menambah: “Kami secara konsisten meminta China dan negara lain yang membuat tuntutan untuk komited mengurus dan menyelesaikan tuntutan ini secara aman bagi mengelak penambakan dan pembinaan kemudahan baharu pada masa depan dan mengelak konflik ketenteraan pada masa depan,”. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast