KUALA LUMPUR – Polis mengesyaki sekurang-kurangnya lapan individu terlibat dalam penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang berlaku berdekatan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati penculikan itu membabitkan lima buah kenderaan dengan sekurang-kurangnya lima pemandu serta tiga individu lain yang dipercayai bertindak menarik mangsa keluar daripada kereta e-hailing jenis Grab yang dinaikinya.
“Tiga kenderaan iaitu Toyota Camry, Nissan Almera dan Nissan Teana dikenal pasti menghalang laluan Grab, manakala dua kenderaan lain berada di hadapan dan belakang bagi melancarkan operasi membawa lari mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek menyamar sebagai anggota polis dengan memakai vest serta pakaian seragam palsu bagi mengelirukan orang awam.
“Pemandu Grab mendakwa melihat seorang wanita dalam pakaian seragam polis dan beberapa individu memakai vest, namun apa yang saya boleh sahkan, pada masa itu tidak ada operasi pun dijalankan pihak polis,”katanya.
Menurut Rusdi, beberapa kenderaan yang digunakan suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu yang sama seperti kenderaan sah milik individu lain.
“Setakat ini, tiada rekod menunjukkan Pamela telah meninggalkan negara melalui saluran rasmi. Oleh itu, kita percaya beliau masih berada dalam negara,” katanya. -MalaysiaGazette
















