Sabin Samitah

Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN) menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM127 bilion tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah.

Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan itu mampu dicapai berdasarkan situasi ekonomi yang semakin baik.

“Selain itu, keyakinan sasaran itu berdasarkan kaedah pemantapan program-program pematuhan.

“Kalau kita lihat, saiz ekonomi telah melebihi RM1.2 trilion dan pada masa sekarang peratus kutipan cukai terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita berada di tahap 14 peratus.

“Jadi kita berharap dengan pemantapan aktivti pematuhan dan pembelajaran dapat meningkatan kepada 16 peratus,” katanya pada majlis pelancaran Operasi Khas Bersepadu TF2B di sini hari ini.

Terdahulu, Sabin telah melancarkan Operasi Khas Bersepadu TF2B itu dalam usaha menggunakan pendekatan berbeza dengan matlamat berorientasikan kutipan hasil.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN itu berkata, pasukan itu akan memulakan tugas mereka secara optimum sepanjang 2017 bermula 1 Januari depan.

“Kita harap dapat mencapai objektif pelaksanaan program ini yang akan dijalankan sepanjang tahun depan, dari segi kutipan dan pematuhan cukai secara sukarela.

“Antara tugas pasukan itu ialah menangani isu pelarian cukai, meningkatkan pematuhan cukai dan mengendalikan jurang cukai serta meningkatkan kutipan hasil cukai langsung negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabin berkata, operasi berkenaan akan membuat risikan, siasatan dan bertindak terhadap beberapa industri yang dikenal pasti.

“Antara fokus LHDN ialah audit terhadap syarikat-syarikat multinasional membayar cukai di Malaysia dan tidak memindahkan keuntungan syarikat mereka ke negara-negara yang mempunyai regim cukai yang lebih rendah dan menyebabkan ketirisan hasil cukai di Malaysia,” katanya.

Menerusi operasi berkenaan, LHDN menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM2 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast