Lombong Garam Wieliczka di Poland.

Lombong Garam Wieliczka – salah satu tarikan terbesar pelancong di Poland – memecah rekod 1.5 juta kunjungan pelancong sepanjang tahun 2016.

Gereja yang diukir daripada garam, arca, tasik air masin bawah tanah dan pelbagai kesan eksploitasi mendapan garam telah menjadikan lombong itu salah satu tempat yang mesti dilawati.

Para pengunjung lombong dapat menikmati beraneka pilihan aktiviti termasuk membeli-belah, menikmati hidangan yang lazat, menghadiri konsert, melawat spa kesihatan dan juga berpeluang bertemu dengan pelombong.

Disenaraikan dalam Senarai Warisan Budaya dan Alam Semula Jadi Dunia UNESCO pada tahun 1978, Lombong Garam Wieliczka kekal sebagai salah satu syarikat tertua di Eropah dengan asal usulnya yang bermula sejak Zaman Pertengahan.

Mengikut sejarah, garam dari Wieliczka membawa kita kembali ke 6,000 tahun yang lampau apabila manusia zaman pra-sejarah yang menghuni rantau itu terdiri daripada pembuat garam dan memperoleh sumber itu daripada mata air.

Pada zaman dahulu, garam dianggap seperti emas dan Wieliczka umpama permata bagi raja-raja Poland.

Garam dari Wieliczka terkenal dan disanjungi oleh masyarakat dari dekat dan jauh selama beberapa abad, laluan bawah tanah itu telah dilawati oleh golongan terkenal, seperti Copernicus, Chopin dan Mendeleev.

Malahan sehingga hari ini, tidak mustahil untuk kita bertemu golongan kerabat diraja dan bintang Hollywood di sana.

Mempunyai lebih daripada 2,300 kamar dengan laluan sepanjang 250 kilometer dan sembilan tingkat – Lombong Garam Wieliczka juga seperti muzium kerana kesan zaman lampau yang ‘tersimpan’ didalamnya.

Monumen asli seperti Crystal Grottoes yang tercipta dalam mendapan garam menjadikan ia satu pengalaman yang menakjubkan kepada pelawat.

Persekitaran seluas 64 -135 meter di bawah tanah juga menjadikan persekitarannya unik dan cantik.

Setiap tahun, ratusan acara unik diadakan di situ – termasuklah penerbangan belon dan lompat bungee selain konsert, persidangan, majlis perkahwinan dan tari-menari.

Wieliczka Salt Mine Health Resort ialah satu kemestian bagi mereka yang menjalani gaya hidup sihat kerana ia menawarkan udara segar yang bersih dipenuhi aerosol garam yang memberi kelegaan kepada mereka yang menghidapi penyakit sistem pernafasan.

Walaupun tiada lagi perlombongan garam dijalankan, tapak itu masih menggaji ramai pelombong yang ditugaskan untuk mengawasi warisan budaya dan alam semula jadi bawah tanah itu.

Mereka juga meneruskan tradisi perlombongan sejak berabad lalu, iaitu mengukir dan memahat garam. — PRNewswire

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast