Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (kanan) menunjukkan koleksi sete 'Kegemilangan Emas di Paralimpik RIO 2016' yang mempamerkan imej 3 altet Paralimpik Negara, Ziyad Zolkefli (dua dari kiri), Ridzuan Puzi (tiga dari kiri) dan Abdul Latif Romly (dua dari kanan) yang menyumbangkan pingat emas dalam temasya sukan Paralimpik Rio 2016. foto SAFWAN MANSOR, 20 DISEMBER 2016

Oleh KUMARA SABAPATTY

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan akan menerima Velodrom Nasional trek basikal yang sedang dibina di Nilai, Seremban pada Mac 2017 menjelang Sukan SEA KL 2017 yang berbaki lapan bulan lagi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, velodrom yang sedang dibangunkan itu menepati perancangan tempoh masa yang ditetapkan.

“Saya jangkakan kita akan menerima veledrom nasional di Nilai itu dari pihak Jabatan Kerja Raya selepas pemeriksaan lengkap dalam bulan Mac dan diikuti velodrom di Ipoh selepas itu.

“Yang akan menjadi venue untuk sukan SEA ialah Veledrom Nasional di Nilai ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri pengeluaran koleksi setem khas atlet trio emas Paralimpik negara di Rio 2016 lalu.

Atlet berkenaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter lelaki T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (Lontar peluru lelaki F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20).

Ditanya mengenai persiapan menjelang Sukan SEA dan Para Asean di Kuala Lumpur pada tahun depan, Khairy berkata, persediaan untuk kedua-dua temasya itu berjalan lancar.

“Saya akan menyampaikan amanat berhubung persiapan kepada atlet SEA dan Para Asean malam ini.

“Hanya tinggal lapan bulan (SEA) dan 9 bulan untuk Para Asean. Harap tidak ada apa-apa masalah dari segi venue kompleks sukan,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast