Perdana Menteri melahirkan kebimbangannya apabila ada persatuan bola sepak negeri-negeri termasuk Kelantan yang akan tarik diri daripada Liga Malaysia 2017.
“Bimbang dengar beberapa persatuan bola sepak negeri termasuk Kelantan akan tarik diri dari Liga Malaysia 2017. Kaji dan cari jalan atasi masalah ini,” katanya dalam status media sosialnya hari ini.
Menurut Najib, semua pihak terlibat perlu lebih gigih memastikan sukan bola sepak terus berkembang maju.
“Jangan hampakan harapan jutaan peminat terutama golongan muda,” ujarnya.
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan tidak akan menyertai Liga Malaysia tahun depan ekoran masalah kewangan dan tidak ada penajaan.
Malah Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa juga sudah melepaskan jawatan ekoran kegagalan KAFA mencari pembiayaan.
Berkenaan KAFA, menurut Najib, masalah timbul berikutan peletakan jawatan Annuar.
“Saya telah minta Tan Sri (Anuar) untuk membantu KAFA, agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors.
“Bola sepak adalah sukan rakyat nombor satu dalam negara, maka penting untuk semua yang terlibat dengan bola sepak negara memastikan sukan ini terus berkembang maju.
“Insya-Allah, dengan adanya persepakatan yang baik serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar dari masalah ini,” kata Perdana Menteri.–MalaysiaGazette