pesawat Beechcraft B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di dalam kawasan Pangkalan Udara Butterworth pada 5.18 petang semalam.

KUALA LUMPUR – Tiga lagi pesawat Beechcraft B-200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang, tidak dibenarkan beroperasi buat sementara waktu susulan nahas di Pangkalan Udara Butterworth semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata operasi pesawat itu digantung sementara untuk membantu siasatan punca nahas di peringkat awal.

“Sekarang ini saya arahkan semua (tiga pesawat) ‘grounded’ (hentikan operasi). Masih terlalu awal untuk kami dapat maklumat lengkap punca nahas.

“Saya telah arah Panglima Tentera Udara untuk kenal pasti punca nahas dan laksana pelan tindakan berkesan elak kejadian sama berulang,” beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan bangunan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Katanya TUDM telah menggunakan pesawat buatan Amerika Syarikat itu sejak 1994 untuk rondaan maritim selain operasi mencari dan menyelamat.
Juruterbang Mejar C. Kayamboo, 44, terbunuh manakala Kapten Wai Lik, 26, Lt Hamid Hanafi, 26, dan Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan, 29, cedera apabila pesawat Beechcraft B-200T itu terhempas di Pangkalan Udara Butterworth semalam.

Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan sentiasa komited memastikan aset-aset pertahanan negara sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan anggota agar usaha memelihara keselamatan negara tidak terjejas.

Hishammuddin mengalu-alukan kenyataan Panglima TUDM baharu, Jen Datuk Seri Affendi Buang, yang agenda utamanya adalah ‘untuk memastikan dan melihat keselamatan anggota TUDM’.

“Saya akan berikan sokongan yang padu,” kata menteri itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast