gambar fail MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Lebih 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India menentang Program Dwi Bahasa (DLP) di beberapa sekolah Tamil terpilih di negara ini  bermula Januari 2017, lapor akhbar Tamil Nesan hari ini.

Mereka mendakwa program DLP yang akan menyaksikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah Tamil akan memberi impak kepada kedudukan bahasa ibunda Tamil.

Malah kumpulan itu juga khuatir dan bimbang pelaksanaan DLP akan menyebabkan kemasukan guru-guru bukan India ke sekolah Tamil yang melaksanakan DLP.

“Apakah jaminan kerajaan  guru India akan diberi tanggungjawab untuk mengajar DLP di sekolah Tamil, lagipun kami bimbang ia boleh menjejaskan waktu pembelajaran bahasa ibunda Tamil di sekolah.

“Kita boleh membenarkan bahasa lain dipelajari di sekolah Tamil tetapi bukan pengajaran subjek dalam bahasa lain.

“Pelaksanaan program DLP juga akan menyebabkan, selain matapelajaran bahasa Tamil,  murid terlibat mungkin terpaksa belajar pelajaran atau subjek lain dalam bahasa lain antaranya Inggeris,” dakwa wakil NGO itu Rajarethnam seperti dilaporkan Tamil Nesan.

Rajarathnam juga mendakwa, tiada bezanya antara sekolah Tamil dan sekolah lebangsaan sekiranya DLP dilaksanakan selain menolak kenyataan bahawa bilangan murid di sekolah Tamil akan bertambah dengan DLP.

Dakwanya lagi, pada tahun 1957 semasa negara mencapai kemerdekaan, sebanyak 1,000 sekolah Tamil telah berfungsi dengan seramai 23,000 murid sahaja.

Kini dengan hanya 525 sekolah Tamil, kita sudah mempunyai 94,000 murid.

“Memang benar bilangan murid di sekolah Tamil telah bertambah, tetapi ia tidak boleh dikaitkan dengan DLP.

“Apa yang kami tegaskan kepada ibu bapa adalah supaya tidak menyokong DLP ini kerana pelajar yang tidak mahir berbahasa Inggeris pencapaiannya akan merosot apabila Sains dan Matematik diajar dalam BI.

“Kami boleh menerima guru bangsa lain mempelajari bahasa Tamil dan kemudian mengajar di sekolah Tamil tetapi bukan menempatkan guru lain untuk mengajar DLP,” ujarnya.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Mannar Mannan dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM), berkata pihaknya bukan musuh ketat untuk bahasa lain di sekolah Tamil tetapi menentang perubahan matapelajaran ke bahasa lain iaitu DLP.

“UNESCO mengatakan seseorang murid akan mahir dalam Sains dan Matematik sekiranya diajar dalam bahasa ibunda mereka. Contoh terbaik ialah murid Cina mahir dalam matematik kerana diajar dalam bahasa ibunda mereka.

“Kami boleh membenarkan pertambahan waktu pengajaran subjek BI di sekolah Tamil tetapi tidak bagi Sains dan Matematik dalam BI.

“Kami tiada halangan DLP ini dilaksanakan di sekolah menengah, tetapi ia tidak diperlukan di sekolah Tamil dan kami melarang sama sekali,” tegasnya lagi. – Tamil Nesan