Saham-saham Vietnam lebih mahal daripada negara-negara Asia Tenggara yang lain buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Dan, saham-saham negara itu dijangka menjadi lebih mahal.
“Terdapat ruang untuk berkembang,” kata Dominic Scriven, Pengerusi Dragon Capital sambil menyasarkan pertumbuhan bersih 19 peratus untuk pendapatan tahun depan kerana ekonomi dijangka terus berkembang dan inflasi kekal stabil.
Penanda aras Indeks VN didagangkan 15.9 kali pendapatan, berbanding dengan Indeks MSCI Asia Tenggara iaitu pada 14.7.
Keuntungan 15 peratus dalam Indeks VN telah membawa kepada lebihan prestasi berbanding Indeks Pasaran MSCI Frontier dan penanda aras Asia Tenggara. Penanda aras itu meningkat 0.3 peratus pada 09:34 waktu tempatan hari ini.
Premium yang kukuh tahun ini adalah disebabkan oleh prestasi makroekonomi dan kestabilan politik yang baik, manakala negara lain di rantau ini telah melalui transformasi politik dan keadaan ekonomi yang sukar,” kata Attila Vajda, pengarah urusan di Projek Asia Research and Consulting Pte di Ho Chi Minh City.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte, yang dipilih pada awal tahun ini, menyebabkan para pelabur terkesima dengan kelantangan terhadap Amerika Syarikat dan perang terhadap dadah.
Thailand pula mengalami pertempuran maut di jalanan dan perbicaraan rasuah sejak rampasan kuasa tentera pada 2014.
Ahli ekonomi meramalkan Vietnam akan menjadi antara negara-negara di dunia yang paling pesat berkembang pada 2016 kerana ia memberi manfaat daripada industri pembuatan yang kian penting sejak beberapa tahun ini.
Peningkatan pelaburan asing langsung membantu melonjakkan Indeks VN ke paras tertinggi dalam lapan tahun 688,89 pada 19 Oktober lalu.
Kerajaan Vietnam mensasarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.7 peratus pada tahun depan, yang akan menjadi kadar terpantas sejak tahun 2007.
Penanda aras keuntungan syarikat-syarikat diramal berkembang 23 peatus dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg. – MalaysiaGazette