Seorang warga emas makan sendirian sambil berbual dengan kerusi-kerusi kosong di sekelilingnya menyentuh hati pelanggan sebuah restoran apabila dia dilihat seolah-olah sedang menikmati makan malam bersama 'keluarga bayangan'. - Ihsan Foto : Laman Sosial

KUALA LUMPUR – Kelibat seorang warga emas makan bersendirian sambil berbual dengan kerusi-kerusi kosong di sekelilingnya menyentuh hati pelanggan sebuah restoran apabila dia dilihat seolah-olah sedang menikmati makan malam bersama sebuah ‘keluarga bayangan’.

Insiden itu dikongsi oleh seorang pengguna Facebook dalam kumpulan Pakar Diari Hati, yang menyaksikan kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam ketika sedang makan bersama keluarganya selepas membeli kelengkapan sekolah anak-anak.

“Semasa menunggu makanan, kami perasan seorang pak cik menyusun lapan set hidangan termasuk lapan teh ais dengan sangat teratur.

“Bila makanan tiba, dia makan bahagian dia dan berbual dengan kerusi kosong di sebelah, seakan ada keluarga bersamanya,” tulisnya.

Situasi itu mengundang sebak dalam kalangan pelanggan lain, termasuk anak-anaknya yang terdiam melihat warga emas berkenaan menikmati makan malam seorang diri.

Menurutnya, pekerja restoran memaklumkan pak cik itu merupakan pelanggan tetap yang datang dua hingga tiga kali seminggu, dan setiap kali akan memesan makanan lengkap untuk lapan orang.

“Dia susun sendiri meja dengan teliti, dan tetap bayar semua walaupun hanya dia seorang yang makan,” ujarnya.

Pekerja restoran itu turut menafikan warga emas itu mengalami masalah mental, malah memuji penampilannya yang kemas, berdisiplin dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Kita tak tahu apa kisah hidupnya. Mungkin dia kehilangan insan tersayang. Kehilangan bukan sesuatu yang mudah,” tambahnya.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi di ruangan komen, dengan ramai netizen meluahkan rasa simpati dan mendoakan kesejahteraan warga emas tersebut.

“Mungkin ada yang dia rindukan. Moga pak cik itu diberi kesihatan dan ketenangan,” tulis Wan Nafisah Ghazali.

Manakala seorang lagi pembaca, Harun Raspan meninggal komen “Yang lalui situasi ini sahaja akan faham, Al-Fatihah buat arwah isteriku”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast