Gambar hiasan

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

 

KUALA LUMPUR – Sepanjang tahun 2016, penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami sekurang-kurangnya tiga kali gangguan bekalan air secara besar-besaran.

Tidak termasuk paip pecah, penduduk Kuala Lumpur dan Selangor mengalami dua kali penutupan air disebabkan berlaku pencemaran air dan bau di loji-loji rawatan.

Gangguan kali terakhir pada tahun ini melibatkan 3.9 juta penduduk semasa Tenaga Nasional Berhad melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di pencawangnya.

Dr. Jacob George
Dr. Jacob George

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, tiga kes gangguan bekalan air itu sudah cukup memeritkan penduduk Lembah Kelang pada tahun ini .

Justeru beliau meminta Kerajaan Selangor serta semua agensi berkaitan sumber air fokus terhadap permasalahan itu bagi mengelakkan ia terus berulang lagi pada tahun depan.

Jika ianya berlaku lagi, maka kertas putih perlu buat supaya siasatan menyeluruh untuk mencari punca sebenar kepada masalah yang menjadi tekanan kepada penduduk Lembah Kelang.

“Masalah gangguan bekalan air secara berulang-ulang di Lembah Kelang saban tahun bukan biasa sebaliknya ia adalah perkara serius.

“Ini kerana pihak berkuasa tidak serius dan melihat isu gangguan air sebagai satu masalah serius.

“Negara ini mempunyai pelbagai peringkat agensi pemantau yang lengkap dalam isu-isu air dari kementerian hingga suruhanjaya. Tetapi apa yang mereka lakukan, apa tindakan mereka apabila masalah air di Kuala Lumpur dan Selangor sering terganggu?” soalnya.

Tegas beliau, gangguan bekalan air bukan isu politik, lantaran itu ia memerlukan kerjasama antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, kita masih boleh membiarkan ibu negara Malaysia dan negeri yang mempunyai pelabur terbesar mengalami gangguan air beberapa kali dalam setahun. Ini sangat menghairankan.

“Jangan asyik terlalu berpolitik jika isu-isu utama rakyat tidak dapat diatasi secara total. Rakyat bayar setiap caj harga air yang dikenakan dan sewajarnya mereka mendapat perkhidmatan terbaik, air berkualiti.

“Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, apa sudah jadi? Oleh sebab itu, CASSA berpendapat jika masalah air tidak ditangani wajar kertas putih dibuka supaya satu siasatan terperinci dilakukan apa, kenapa dan mengapa masalah ini berlarutan.

“Siasatan juga perlu menyeluruh untuk melihat sejauh mana fungsi-fungsi agensi atau organisasi berkaitan air menjalankan tugas dan peranan mereka.

“Ini penting kerana buat apa mewujudkan organisasi, yang mana gaji mereka ditanggung oleh rakyat tetapi mereka tidak berfungsi kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast