Home Dunia Pesawat terhempas Rusia alami masalah sayap

Pesawat terhempas Rusia alami masalah sayap

Pesawat tentera Rusia TU 154 yang hilang ditemui terhempas di Laut Hitam. Foto Sputnik International

Pesawat tentera Rusia TU-154 yang terhempas dan mengorbankan 92 orang penumpangnya dipercayai mengalami masalah dengan sayapnya menyebabkan ia menjunam ke dalam Laut Hitam, sumber penyiasatan memberitahu agensi berita Interfax.

Pesawat milik Kementerian Pertahanan itu hilang daripada skrin radar dua minit selepas berlepas pada hari Ahad dari Sochi di selatan Rusia.

Tiga kotak hitam pesawat dikatakan telah ditemui bagaimanapun Kementerian Pertahanan mengesahkan hanya satu yang dijumpai.

The Life.ru, portal berita, yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang, berkata, rakaman daripada kotak hitam yang ditemui itu merakam kata-kata terakhir juruterbang yang menunjukkan masalah dengan kepak sayap.

“Komander kita akan jatuh,” kata juruterbang memetik laporan The Life.ru.  Bagaimanapun, rakaman itu belum disahkan.

Interfax pula memetik sumber penyiasat yang mendakwa data menunjukkan sayap pesawat gagal berfungsi seperti yang sepatutnya.

Berikutan itu, pesawat itu gagal mencapai kelajuan yang secukupnya dan terhempas di dalam Laut Hitam.

Jika perkara ini benar, ia akan menimbulkan persoalan tentang penggunaan pesawat TU-154 pada masa depan kerana ia masih digunakan oleh kementerian-kementerian kerajaan Rusia.

Sumber yang dipetik Interfax juga memaklumkan Rusia telah menggantung semua operasi pesawat TU-154, namun tiada pengesahan dibuat.

Pesawat TU-154 era Soviet dibina pada tahun 1983 itu telah diselenggara pada bulan September lalu selepas mengalami pembaikan besar pada Disember 2014. – MalaysiaGazette