KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda lagu-lagu asli, Tan Sri SM Salim menghembuskan nafas terakhir pukul 5.44 petang sebentar tadi.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh cucu saudaranya, Ellyana Ali kepada pihak media atas permintaan salah seorang anaknya, Shamsul Salim.
Jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Baru dan akan kebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, esok pagi.
Berita SM Salim, 88, yang berada dalam keadaan nazak akibat sakit tua mula tersebar sejak petang semalam.
Anak sulung penyanyi itu, Siti Noraishah, 60, memberitahu bapanya dalam keadaan tenat sejak pukul 3 pagi tadi hingga perlu diberi alat bantuan pernafasan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Aishah Abdul Ghani, 72.
Sepanjang berkongsi hidup selama 52 tahun, pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata.
Dalam pada itu seorang anak lelaki allahyarham, Dr. Shamsudin, 58, kini sedang dalam perjalanan dari Chicago, Amerika Syarikat dan dijangka tiba esok pagi. — MalaysiaGazette