KUALA LUMPUR – Jenazah Biduan Negara, Tan Sri SM Salim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ampang di sini pukul 3 petang tadi.
Sebelum itu, jenazah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat.
Solat jenazah diimamkan oleh Imam Kedua Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Ab Hamid.
Antara rakan artis dan orang ramai yang hadir Datuk A. Rahman Hassan Datuk Jeffry Din, Datuk M.Daud Kilau, Uji Rashid, Zack Kool, Herman Tino, Ali Bakar, Datuk A. Samad Said, Datuk, Khalid Yunus, Datuk Daud Wahid dan Mansor Putih.
Allahyarham SM Salim, 88, menghenmbuskan nafas terakhir di rumah anaknya di Ukay Perdana , Hulu Klang, kira-kira jam 5.44 petang semalam.
SM Salim atau nama sebenar, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros memulakan kariernya sebagai penyanyi pada tahun 1950an dan merupakan pejuang lagu-lagu Melayu asli dan tradisional.
Penyanyi veteran itu lumpuh akibat sakit saraf dan pergerakannya bergantung pada kerusi roda sejak 17 tahun lalu.
Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Nur Aishah Abdul Ghani, tujuh anak, 14 cucu dan 10 cicit.
Sementara itu, Uji menyifatkan pemergian SM Salim satu kehilangan besar buat negara.
Malah penyanyi popular 70an itu berkata Allahyarham sebagai mentor terbaik dalam dunia nyanyian.
“Arwah banyak memberi tunjuk ajar dan cara beliau mengajar lain dan bukan ada kelas.
“Dia akan memberi tunjuk ajar ketika berjumpa sesuatu persembahan dan di belakang pentas.
“Arwah juga seorang yang kuat dan tabah kerana walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda, minat dan jiwanya terhadap nyanyian tidak pernah luntur,” katanya.
Komposer Datuk Acis pula memberitahu SM Salim gemar berseloroh dan suka berkongsi pengalaman hidup pada masa lampau terutama ketika berkhidmat di Congo.
Suami kepada Datuk Sheila Majid itu berkata, biarpun cerita allahyarham itu sama ketika bertemu, isi penceritaan sentiasa segar dan membuatkan orang yang mendengar sentiasa teruja.
“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah pada Hari Raya yang lalu. Ketika itu, beliau susah hendak bangun dan makan tetapi boleh bercakap seperti biasa.
“Biarpun kehilangan yang besar kepada industri, arwah sudah lama sangat menderita dan arwah kembali ke tempat yang lebih baik,” ujarnya.- MalaysiaGazette