KUALA LUMPUR – Ramai rakyat Malaysia mengeluh panjang selepas harga petrol dan diesel bagi bulan Januari diumumkan malam tadi.
Mulai tengah malam tadi, harga RON95 dinaikkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.10, kenaikan 15 sen bagi RON97 dan diesel kepada RM2.15 seliter, bertambah 20 sen berbanding bulan Disember.
Penetapan harga petrol dan diesel pada bulan ini berdasarkan harga purata bulan Disember lalu untuk dijadikan harga terkini, selaras dengan pelaksanaan apungan terurus. Ini kerana subsidi untuk RON95 dan diesel telah dihentikan oleh kerajaan pada 1 Disember 2014.
Mekanismenya adalah sama dengan penetapan harga runcit RON97.
Ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, maka penetapan harga runcit bagi bahan api tersebut di pasaran Malaysia turut naik, begitu juga sebaliknya.
Penetapan harga petrol dan diesel berdasarkan harga purata bulan sebelumnya dan akan menjadi harga untuk bulan terbaharu.
Sejak harga minyak merudum pada pertengahan 2014 akibat lebihan bekalan dan kurangnya permintaan disebabkan kemerosotan ekonomi dan ketidaktentuan dunia, rakyat Malaysia menikmati bahan tenaga itu dengan agak murah.
Berdasarkan rekod, kali terakhir penetapan harga RON95 dan diesel paling tinggi ialah pada bulan Julai 2015 dengan masing-masing berharga RM2.15 dan RM2.05 seliter.
Selepas itu, harga petrol RON95 yang paling banyak digunakan di Malaysia berada dalam lingkungan sekitar RM1.90 seliter hingga RM2.05 seliter.
Sudah tentu apabila RON95 ini dinaikkan kepada RM2.10 seliter, ramai yang tidak puas hati kerana didakwa kenaikan itu melampau.
Sedangkan sejak Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC) dan bukan OPEC bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari pada November lalu mulai tahun ini, harga minyak merekodkan lonjakan besar.
Sebulan selepas itu, harga minyak naik dari sekitar AS$46 kepada AS$54 setong, kenaikan 60 peratus sejak 2014 selepas pernah menjunam AS$35.
Lonjakan itu menjadikan kenaikan harga minyak sebanyak 45 peratus pada tahun 2016, lompatan terbesar sejak tahun 2007.
Tahun ini harga minyak dunia diramal melambung disokong oleh keputusan OPEC dan bukan OPEC, selain diperkukuh dengan prestasi ekonomi China yang semakin memberangsangkan. Juga disokong oleh penurunan nilai ringgit dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat.
Lantaran itu, rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga RON95 lebih tinggi kerana pasaran tempatan mengunjurkan purata harga minyak itu antara RM2.10 dan RM2.20. Angka itu adalah purata!
Berdasarkan ramalan itu, tidak mustahil sepanjang 12 bulan ini, kita akan menyaksikan harga minyak petrol antara RM2.10 hingga RM2.40 seliter.
Unjuran ini selari dengan pandangan penganalisis dunia yang meramalkan harga purata minyak dunia AS$50 sepanjang tahun ini.
Dengan harga purata itu, harga minyak dunia diunjurkan berlegar-legar sekitar AS$55 setong.
Kemungkinan besar, rakyat Malaysia akan berbelanja lebih untuk petrol pada tahun ini – tidak seperti tahun 2016 yang mana harga minyak tidak mencecah pun RM2 seliter.
Ini adalah realiti dalam kitaran atau pusingan dalam pasaran minyak. Apabila ia mencapai paras terendah, pastinya sampai tempoh tertentu harga akan kembali stabil selepas langkah-langkah memperbaiki harga dilakukan.
Dalam ekonomi juga, kitaran ini berlaku sama.
Kesimpulannya kenaikan harga minyak adalah cabaran rakyat Malaysia pada tahun ini.
Malah, dijangka kenaikan harga emas itu bakal menjadi penyumbang kepada kenaikan inflasi negara pada 2017. – MalaysiaGazette