Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR – PKR Selangor sepatutnya berasa malu dengan langkah berani Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melantik Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik.

Menurut bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin, selain DAP Pulau Pinang, kebijaksanaan Setiausaha Agung PKR itu juga telah dipinjam oleh Pas Kelantan untuk melatih dan menyusun strategik bagi mendapatkan sokongan rakyat menerusi Yayasan Tok Kenali yang diketuai Datuk Husam Musa.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri Selangor gagal menggunakan asset sumber tenaga manusia yang bagus dalam PKR sendiri, sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakan komponen PH iaitu DAP.

“Dengan lantikan ini, kerajaan Selangor sepatutnya malu tidak menggunakan aset-aset sumber tenaga manusia yang bagus dalam PKR sendiri, sebaliknya Pulau Pinang pula yang memberikan kedudukan rasmi kepada aset PKR.

“Sudah tentu juga ‘musuh’ dalam dan luar akan menggunakan isu Saifuddin kini bekerja dan digaji di bawah Setiausaha Agung DAP (Guan Eng).

“Ini kerana kesilapan dan keangkuhan Mohamed Azmin dalam menyusun kroni korupnya di Selangor tanpa memikirkan pembinaan masa depan parti itu sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari blog beliau, chegubard.blogspot.my, hari ini.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard menjelaskan, pelantikan Saifuddin itu adalah sebagai usaha DAP untuk memulihkan kepercayaan rakyat kepada parti itu berikutan Guan Eng berdepan dengan kes korupi pada pertengahan tahun lalu.

“Barisan Nasional (BN) melihat kes Guan Eng ini sebagai ‘checkmate’ jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan dan berlaku pilihan raya negeri,” katanya.

Kata beliau, kemasukan Saifuddin dalam kerajaan Pulau Pinang ketika ini amat tepat bagi merangka strategi ke arah melonjak tapak sokongan.

“Cuma persoalanya adakah Saifuddin diterima oleh PKR Negeri Pulau Pinang yang rata-ratanya dikuasai puak kartel Timbalan?

“Sudah hangat kedengaran kartel ini memainkan propaganda isu kononnya, Saifuddin bakal Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu yang dikawal Guan Eng, kerana itu perlu disekat,” ujarnya.

Menurut Chegubard, beliau yakin Setiausaha Agung PKR itu mampu merangka strategi dengan baik ke arah mengombak sokongan khususnya orang Melayu di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette