Mohd Ishak Rohani menunjukan salinan kad maklumat warga asing yang dikeluarkan oleh Paradise Linx pada sidang media sindiket penipuan permit pekerja asing di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JANUARI 2016.

KUALA LUMPUR- Seorang bekas Pengarah Operasi syarikat menguruskan permit kerja warga asing, Paradise Link Sdn. Bhd. dan Paradise Data Analytic Sdn. Bhd. mendakwa pemilik syarikat berkenaan, Amir Pasirin telah menipu majikan dan pekerja asing sebanyak RM1.3 juta.

Wang tersebut menurut Mohd. Ishak Rohani, 54, dikutip oleh Amir melalui ejen-ejenya daripada pelbagai syarikat yang menggaji pekerja asing untuk menyiapkan beberapa dokumen berkaitan permit kerja.

Ini termasuk kutipan untuk pendaftaran sijil pengesahan pendaftaran warga asing (RECOF) sebanyak RM78,806, kutipan levi tunai (RM11,890) dan fi perunding (RM49,700).

Mohd. Ishak yang lebih dikenali sebagai Misai berkata, Amir menjalankan kegiatan tersebut sejak 2012 di bawah program Khidmat Imigresen.

Meskipun telah dijatuhkan hukuman atas menipu sebuah syarikat berhubung pengurusan permit pekerja asing, Ishak berkata, Amir tetap meneruskan perniagaannya dengan modus operasi yang sama.

Dakwa beliau, Amir menggunakan nama isteri dan rakan-rakannya untuk meneruskan perniagaan tersebut.

“Masalah utama sekarang, ejen-ejen ini dicari oleh mangsa-mangsa tersebut sedangkan tugas mereka hanya mencari majikan atau pekerja asing yang berminat dan mereka dibayar komisen oleh Amir.

“Amir juga telah membusukkan nama kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen kerana melakukan penipuan ini sedangkan perniagaannya tidak diluluskan.

“Terkini saya dapat tahu, Amir mempromosikan kad pengenalan diri warga asing atau kad kebal yang mana pekerja asing yang memilik kad tersebut tidak akan ditangkap pihak berkuasa meskipun tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Ini satu penipuan kerana warga asing yang ada kad kebal ini tetap ditangkap pihak berkuasa. Kasihan mereka kerana terus menjadi mangsa,”katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ishak, beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut tahun lalu namun masih belum ada tindakan diambil terhadap Amir dan syarikatnya.

Malah dakwa beliau, Amir yang juga bekas pegawai di KDN itu turut aktif mengadakan pelbagai acara dan ceramah untuk mempromosikan program khidmat imigresen sehingga kini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast