KUALA LUMPUR – Perbuatan Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong daripada PKR yang memakai tudung labuh masuk ke masjid mengulangi taktik mendiang Lee Kuan Yew satu masa dahulu.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, taktik mempengaruhi orang Melayu itu dilakukan Kuan Yew semasa kempen PAP yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri di Singapura.

“Beliau (Elizabeth) yang memakai tudung labuh ketika memasuki Masjid As-Syakirin, Bandar Utama baru-baru ini hanyalah mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh Kuan Yew 50 tahun lampau.

“Pada 1965, pemimpin PAP Lee Kuan Yew pernah memasuki Kampung Tani, Singapura semata-mata untuk berkempen mengambil hati orang-orang Melayu.

“Rakyat Selangor pastinya tidak pernah melupakan bagaimana Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dari DAP memboikot pemakaian songkok sebagai pakatan rasmi protokol sempena istiadat perasmian DUN oleh Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah.

“Dua kes di atas menggambarkan dua sikap berbeza dari parti sedarah sedaging, PAP dan DAP, namun mempunyai motif yang sama.

“Apa motifnya? Kedua-duanya jelas menolak Ketuanan Melayu dan Islam dalam cara yang berbeza,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Zein yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menambah, kes pertama menggambarkan kelicikan pemimpin DAP menolak Ketuanan Melayu dan Islam di Singapura dengan cara yang paling sistematik dan licik memperbodohkan para pengundi, menang dalam pilihan raya dan akhirnya mengamalkan sikap ethnic cleansing dalam dasar-dasar dan pentadbirannya atas nama meritokrasi sehinggakan umat Islam dan orang-orang Melayu terpinggir di tanah air mereka sendiri.

Kes kedua, katanya, memperlihatkan ADUN-ADUN DAP Selangor menolak Ketuanan Melayu dan Islam dengan bersikap kurang ajar serta biadap dalam majlis rasmi istana negeri sempena pembukaan sidang DUN.
“Inilah sikap sebenar parti ultra chauvinis DAP dan sekutu-sekutunya,” jelasnya lagi.

Menurut Zein, taktik Kuan Yew diikuti dengan baik oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah diprojekkan imejnya oleh Wanita PKR Pulau Pinang sebagai akan menganut agama Islam sekiranya Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum pada 2008.

Propaganda dengan memperalatkan Islam sebegini diteruskan dengan memperbodohkan rakyat Pulau Pinang dengan slogan pentadbiran Umar Abdul Aziz sehinggalah Pas terpedaya dan akhirnya ditikam oleh DAP secara terang-terangan.

“Hakikatnya, mereka sememangnya anti Ketuanan Melayu, Institusi Islam serta Institusi Raja-Raja Melayu jika kita menelusuri tindak-tanduk para pemimpin serta dasar-dasar parti dan kerajaan mereka,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast