GEORGETOWN- Jersi terbaharu pasukan Pulau Pinang pada Liga Super 2017 yang diperkenalkan baru-baru ini telah menjadi sasaran kritikan di kalangan peminat negeri itu.
Penyokong Harimau Kumbang dikatakan tidak berpuas hati dengan rekaan jersi itu kerana dikatakan terlalu ringkas dan tidak menonjolkan identiti pasukan.
Mereka jelas kecewa dengan corak jersi dan ada yang mengugut untuk memboikot pembelian jersi tersebut sehingga corak jersi yang baharu dikeluarkan.
Malah satu petisyen tersebut yang bertajuk Tukar Design Jersi Penang FA 2017 telah dilancarkan sejak beberapa hari lalu.
Lebih 1,000 tandatangan telah diterima yang meminta Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mempertimbangkan kembali rekaan jersi lain.
Penyokong juga dikatakan tidak boleh menerima alasan yang diberikan pihak persatuan kononnya corak ini dipilih adalah disebabkan kebocoran corak terdahulu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Mereka turut berpendapat corak terbaharu itu terlalu ringkas dan hanya menyebabkan lebih mudah bagi cetak rompak jersi berlaku. – MalaysiaGazette