JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor terbuka terhadap sebarang perbincangan berkenaan kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Ni Ching berkata, namun pihaknya masih belum mengetahui bila tarikh PRN akan diadakan.
“Saya tak pasti bila akan diadakan PRN tetapi kami DAP, kita terbuka untuk pelbagai perbincangan untuk diadakan,” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Johor.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program MADANI Rakyat (PMR) @Dewan Serbaguna Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, PH atau DAP sehingga kini masih lagi berperanan sebagai pihak yang melakukan semak dan imbang di negeri ini.
“Perkara ini sangat jelas. Pada tahun 2024 Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke Siew Fook) telah turun hadir Konvokesyen DAP Johor, dia cakap dengan jelas DAP takkan tuntut apa-apa jawatan dalam kerajaan negeri.
“Kami akan terus dengan baik memainkan peranan sebagai sebagai pembimbang, check and balance di Johor,” ujar Ketua Wanita DAP Kebangsaan itu.
Ditanya sama ada pemilihan Parti Keadilan Johor (PKR) Johor sudah berlangsung di peringkat cabang manakala peringkat kepimpinan tinggi minggu depan memberi kesan terhadap DAP, beliau berpendapat, proses itu tidak memberi kesan.
“Saya rasa tidak kerana saya rasa pemillihan bagi sesuatu parti politik itu biasa, jadi semasa pemilihan kadang kala ada sedikit isu, jadi banyak perhtian dan tumpuan…kami adalah parti yang matang,” ujarnya.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Dr Zuhan Zain sebelum ini dilaporkan berkata, PH Johor sedia bertanding secara solo tanpa perlu kerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada PRN nanti.
Dr Zuhan berkata, PH boleh bertanding di semua kerusi di Johor kerana melihat kemungkinan itu ada.
“Ini kerana Amanah Johor melihat kemungkinan itu selepas melihat situasi yang berlaku dalam negara ketika ini,” ujar Ketua Amanah Kawasan Kluang itu.
Pada PRN sebelum ini, PH menang 13 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor manakala Barisan Nasional (BN) pula menawan 40 kerusi DUN diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.- MalaysiaGazette