KUALA LUMPUR – Perdana Menteri secara sinis menegur kemelut bola sepak negara hari ini semasa merasmikan Program Detik-Detik Perpaduan di Taman Botani di sini hari ini.
Menurut Datuk Seri Najib Razak, semasa bersalaman dengan bekas pemain bola sepak veteran, beliau terkenang zaman kegemilangan sukan itu semasa mudanya.
“Bila saya bersalam dengan Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, ia mengingatkan saya pada zaman muda bersama-sama bersorak di stadium melihat perlawanan melibatkan pasukan negara.
“Ketika itu standard bola sepak kita jauh lebih baik daripada sekarang,” ujarnya sambil mengundang ketawa orang ramai yang hadir.
Sejak kebelakangan ini, mutu dan prestasi bola sepak negara keterbelakang berbanding negara jiran dan mengalami banyak krisis sehingga mengundang kontroversi demi kontroversi.
Sebelum itu, Perdana Menteri dalam kenyataannya mahu mutu dan kegemilangan pasukan bola sepak negara dikembalikan termasuk pasukan bola sepak Kelantan.
Selain itu, pasukan bola sepak Selangor juga mengalami krisis kepimpinan selain kualiti pasukan negeri-negeri lain juga banyak merudum.
Pada program yang sama, Najib juga memuji pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.
Chong Wei juga dilantik sebagai Ikon Perpaduan pada majlis yang sama.-MalaysiaGazette