Home Dunia Kunyah ais, salji untuk hidup

Kunyah ais, salji untuk hidup

Keadaan Hotel Rigopiano yang rosak teruk akibat ditimpa runtuhan salji pada Rabu lalu. Foto Agensi

ITALI – Seorang mangsa runtuhan salji di Hotel Rigopiano hanya mengunyah ais dan salji untuk mengatasi rasa haus selepas terperangkap 58 jam.

Giorgia Galassi, 22, merupakan seorang daripada sembilan orang mangsa yang berjaya dikeluarkan.

Setakat ini 24 orang mangsa masih hilang dan lima orang ditemui mati.

Para pegawai penyelamat berkata, salji seberat 120,000 tan telah menimpa hotel berkenaan dengan kelajuan 100 kilometer sejam.

Runtuhan salji itu menyebabkan hotel berkenaan tertimbus pada Rabu lalu.

Semasa kejadian itu, kebanyakan tetamu hotel berhimpun di tingkat bawah menunggu diselamatkan selepas berlaku gempa bumi.

Giorgia, seorang penuntut berkata, beliau duduk di sofa di lobi hotel bersama tunangnya, Vincenzo Forti, 25, ketika runtuhan berlaku.

“Semuanya runtuh dan saya tidak dapat memahami mengapa ia berlaku.

“Lobi bertukar menjadi gua. Keadaan gelap gelita dan suara kami bergema.

“Saya mendengar seorang wanita memanggil tunangnya dan seorang lelaki dari Rom cedera pada tangannya dan berada dalam kesakitan.

“Seorang ibu pula memeluk anaknya sambil memanggil untuk mencari anak perempuannya,” katanya.

Giorgia berkata, semua kanak-kanak berada dalam kelakuan baik dan tidak menangis.

Giorgia diselamatkan selepas mendengar suara manusia.

“Saya jawab, Saya Giorgia dan saya masih hidup. Ia adalah perkataan paling manis yang pernah saya ungkapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast