Home Nasional Sel baharu pengganas IS di Sabah lumpuh

Sel baharu pengganas IS di Sabah lumpuh

KUALA LUMPUR – Polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, berjaya melumpuhkan satu sel baharu pengganas Islamic State (IS atau Daesh) di Sabah dan ibu negara.

Sel baharu itu disyaki merancang menjadikan Sabah transit oleh anggota kumpulan pengganas IS dari Asia Tenggara dan Asia Selatan menyusup masuk ke Filipina untuk menyertai kumpulan pengganas IS pimpinan Dr. Mahmud Ahmad dan Isnilon Hapilon.

Usaha itu dipatahkan polis dengan tertangkapnya empat suspek iaitu tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia antara 27 dan 31 tahun dalam satu operasi di sekitar Sabah dan Kuala Lumpur antara 13 hingga 19 Januari 2017 lalu.

Suspek pertama seorang warganegara Filipina berusia 31 merupakan penjual jam ditangkap di Kota Kinabalu, Sabah pada 13 Januari dan dikenalpasti sebagai anggota sel kumpulan pengganas IS dibawah pimpinan Dr. Mahmud Ahmad.

Mahmud merupakan bekas pensyarah di Universiti Malaya yang telah menyertai kumpulan pengganas IS itu di Selatan Filipina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang berbaiah dengan Mahmud telah diarah untuk merekrut dan mengatur penyusupan masuk anggota baharu IS dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya ke Selatan Filipina untuk menyertai kumpulan pengganas IS di Marawi City, Mindanao.

“Manakala suspek kedua wanita tempatan berusia 27 tahun ditangkap bersama suspek pertama di Kota Kinabalu dan tidak mempunyai pekerjaan berasal dari Selangor dan telah direkrut pada awal Januari ini melalui media sosial.

“Wanita itu berlepas dari KLIA, Sepang pada 13 Januari lalu untuk bertemu suspek pertama di Kota Kinabalu dan mereka merancang berlepas ke Sandakan sebelum menyusup masuk ke Selatan Filipina.

“Ketika ditangkap wanita itu mengaku akan berkahwin dengan suspek pertama (penjual jam),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan, sama ujar beliau, dua lagi suspek adalah warganegara Bangladesh masing-masing berusia 27 dan 28 tahun dan bekerja sebagai jurujual dicekup di Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu dalam satu operasi susulan daripada tangkapan suspek pertama.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek berkenaan telah direkrut oleh suspek pertama.

Mereka merancang untuk menyertai kumpulan pengganas IS pimpin Dr Mahmud Ahmad di Selatan Filipina dan mereka berdua turut disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas IS yang beroperasi di Bangladesh.

“Hasil soal siasat asal mendedahkan bahawa sel yang diketuai Mahmud bergabung dengan kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) pimpinan Isnilon Hapilon yang telah berbaiah dengan pemimpin IS, Abu Bakar Al Baghdadi.

“Selain dari Dr. Mahmud dua lagi rakyat Malaysia iaitu Amin Bacho anggota Darul Islam Sabah dan Joraimee Awang, turut menyertai sel ini yang kini beroperasi di Marawi City, Mindanao.

“Dengan tangakapan ini, usaha sel baru untuk menjadikan Sabah sebagai Transit oleh anggota pengganas IS untuk masuk ke Selatan Filipina berjaya ditumpaskan.

Kesemua suspek ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur dibawah Akta (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette