Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terlepas banyak peluang sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) gagal dilaksanakan.

Lantaran itu, Ketua Perunding TPPA dalam kalangan 11 buah negara akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada sebelum memutuskan tindakan terbaik selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia melalui MITI dan kementerian lain akan terus mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai perkembangan terbaru dan hala tuju selepas ini.

Mustapa berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini selepas Presiden Donald Trump menarik penyertaan Amerika Syarikat dalam perjanjian yang penuh kontroversi di negara itu selepas menandatangan perintah eksekutif.

“Seperti yang saya katakan di Davos semasa Forum Ekonomi Dunia, sekiranya TPPA gagal menjadi kenyataan, tumpuan kami adalah untuk meningkatkan integrasi ekonomi ASEAN dalam konteks Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC)  2025 dan memberi fokus kepada Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Menurut beliau, dalam pertemuan dengan 12 pemimpin negara-negara TPPA di Lima pada 19 November tahun lepas, kesemua mereka mengulangi komitmen ke arah merealisasikan perjanjian yang berkualiti tinggi ini kerana ia membawa faedah kepada ekonomi masing-masing dan rantau ini, khususnya dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, serta meningkatkan pengantarabangsaan perusahaan kecil dan sederhana.

Jepun dan New Zealand juga telah melengkapkan proses pengesahan domestik, malah Jepun telah menyerahkan ratifikasi pada 20 Januari 2017.

Mengulas dakwaan Trump kononnya TPP menyebabkan rakyatnya kehilangan pekerjaan, Mustapa berkata, TPP adalah perjanjian yang seimbang memberi manfaat kepada semua ahli-ahlinya.

Amerika Syarikat juga katanya, akan mendapat manfaat kepada akses pasaran daripada lebih baik untuk negara-negara yang mereka tidak mempunyai FTA dengan seperti Jepun, Vietnam dan Malaysia.

“Malaysia akan terus memantau rapat perkembangan dasar perdagangan Amerika Syarikat walau apa pun kedudukan semasa pentadbiran baru pada TPPA.

“Kita akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan Amerika untuk mengukuhkan perdagangan dua hala dan hubungan ekonomi, diberi kepentingan Amerika Syarikat sebagai rakan dagang ketiga terbesar dan sumber utama dalam pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette