Rahmad memberi nasihat kepada dua lelaki sanggup menjadikan ruang tersorok warung bukan Islam di Bukit Rambai di sini untuk ponteng puasa sambil menikmati teh tarik dan roti bakar di Bukit Rambai, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Dua lelaki 50-an sanggup menjadikan ruang tersorok warung bukan Islam di Bukit Rambai di sini untuk ponteng puasa dengan alasan sakit dan tidak larat sambil menikmati teh tarik serta roti bakar di sini pagi tadi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan itu dilakukan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di warung berkenaan jam 11.05 pagi tadi.

Menurutnya ketika diserbu, orang yang disyaki (OYDS) masing-masing berusia 52 dan 53 tahun itu sedang leka menikmati hidangan dalam ruang tertutup di belakang premis berkenaan.

Rahmad Mariman

“Seorang daripadanya yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat untuk minum di situ bersama rakannya merupakan tukang rumah yang mengaku tak larat untuk berpuasa.

“Malah ketika serbuan, pasukan penguat kuasa terpaksa masuk melalui tingkap ekoran pintu belakang premis kayu itu yang dikunci dipercayai bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi itu hari ini.

Operasi turut disertai Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Akmal Nadzim Abdullah.


Ketika serbuan, pasukan penguat kuasa terpaksa masuk melalui tingkap ekoran pintu belakang premis kayu itu yang dikunci dipercayai bagi mengelak dihidu JAIM.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, walaupun tidak sihat umat Islam tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk menikmati makanan di tempat awam.

“Ini menjadi kesalahan di bawah Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991: Kesalahan menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.

“JAIM akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan ini dan mengingatkan orang ramai kesalahan ini tidak boleh dikompaun sebaliknya mereka dikehendaki hadir ke mahkamah untuk tindakan seterusnya,” jelasnya lagi.


Teh tarik dan roti bakar yang dinikmati dua lelaki di sebuah warung bukan Islam di Bukit Rambai, Melaka hari ini.

Beliau menambah setakat 7 Ramadan hari ini, JAIM telah melakukan 11 Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan melibatkan 127 premis makanan.

“Daripada jumlah ini, kita berjaya menahan 8 OYDS lelaki yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 49 EKSNM 1991 yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan jika disabit kesalahan kali pertama.

“Tahun lalu, kita berjaya menghasilkan 38 kes dengan kesemua mereka memberi alasan tidak sihat namun kesalahan ponteng puasa ini tidak sepatutnya berlaku di tempat awam,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast