KLANG – Pemilikan rumah tidak sepatutnya berakhir dengan beban baharu kepada rakyat apabila masalah penyelenggaraan, utiliti dan kemudahan asas menjadikan kediaman yang dimiliki sukar didiami dengan selesa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mahu memastikan rumah yang dimiliki rakyat benar-benar meningkatkan kualiti kehidupan, bukannya bertukar menjadi ‘perangkap’ akibat masalah pengurusan dan penyelenggaraan.
Menurut beliau, isu perumahan perlu dilihat lebih luas daripada sekadar menyediakan bangunan untuk didiami.
“Harapan kita, kediaman itu akan mengubah kehidupan rakyat Malaysia, tetapi jangan sampai ia menjadi satu perangkap baharu apabila akhirnya ditinggalkan kerana pemilik tidak mampu,” katanya pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Selangor Tahun 2026.
Amirudin berkata, selain isu infrastruktur dan utiliti, kerajaan perlu memberi perhatian kepada jaringan komunikasi, pendidikan, kebersihan dan hubungan kejiranan.
Katanya, komuniti yang mempunyai kehidupan kejiranan baik juga penting dalam memastikan kawasan perumahan menjadi tempat tinggal yang selamat dan selesa.
“Kita bukan hanya bercakap tentang pelaburan atau persoalan pendapatan asas yang perlu diperbaiki, tetapi juga tentang kehidupan berkualiti dalam satu kejiranan yang padu,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Selangor sedang meneliti langkah memperkasakan semula Program Ceria yang dilaksanakan sejak sekitar 2009 atau 2010 bagi meningkatkan kualiti dan keadaan fizikal perumahan strata.
“Program itu akan terus diberi perhatian sebagai antara pendekatan kerajaan negeri membantu komuniti strata berdepan masalah penyelenggaraan dan kualiti kediaman,” katanya.
Menurut beliau, keperluan penduduk strata kini bukan hanya berkaitan keadaan fizikal bangunan tetapi turut meliputi kualiti kehidupan dan sokongan komuniti.
“Kita sedang berbincang bagaimana memperkasakan Program Ceria supaya ia benar-benar membantu menangani isu berkaitan kualiti dan keadaan perumahan masing-masing,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada isu seperti kebersihan, sistem perparitan, bekalan air dan kemudahan asas yang memberi kesan langsung kepada penduduk.
“Pendekatan itu akan diperkukuh dengan program pembangunan komuniti supaya penduduk bukan sahaja menikmati kediaman yang lebih baik malah mempunyai persekitaran kejiranan yang lebih selesa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















