Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Dua bekas banduan masing-masing dihukum penjara keseluruhan 31 bulan 15 hari oleh Mahkamah Majistret dan Sesyen hari ini atas sembilan pertuduhan mencuri dan melupuskan harta curi pada awal bulan ini.

Tertuduh J Durai Raj, 26, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 23 bulan 15 hari, manakala P Sherman Paul, 27, mengaku salah dan dihukum penjara lapan bulan selepas pertuduhan dibacakan secara bersama-sama dan berasingan dihadapan Majistret A Sharmimi, Nurzihan Abdul Rehman dan Nur Fatin Mohamed Farid.

Bagi tertuduh Durai, mahkamah turut mengenakan hukuman denda sebanyak RM19,000 keseluruhan manakala P Sherman sebanyak RM10,000

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Taman Pulai Mutiara, Johor Bahru pada 7 September lalu.

Mereka didakwa menyimpan beberapa harta curi membabitkan bungkusan belian atas talian termasuk rak kasut, lampin pakai buang, kamera, barang kemas dan kotak peralatan bengkel.

Kesemua pertuduhan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 411, Seksyen 414, Seksyen 511 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Anis Syafeeqah Mohd Shariffudin dan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selain itu, kedua-dua lelaki itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan rompakan berkumpulan membabitkan kabel milik sebuah syarikat di Setia Eco Gardens, Gelang Patah pada 28 Julai lalu.

Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan terhadap dua individu dengan melarikan satu gulung kabel kira-kira pukul 2 pagi di Jalan Laman Setia Utama, Setia Eco Gardens, Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Shamila Luthfi dan kedua-dua tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 seorang dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula serta penyerahan dokumen pada 19 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here