KUALA LUMPUR – Dua pasukan WorldTeam dalam saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) kali ini, XDS Astana Team dan Team Picnic PostNL menampilkan misi berbeza berdasarkan senarai awal nama pelumba yang dihantar menjelang bermula Peringkat 1 Shah-Kampar pada 27 September ini.
Astana menyenaraikan empat pakar pecut dan dua pendaki dalam barisan enam pelumbanya manakala Picnic PostNL masih berharap kepada barisan pelumba kurang ternama dan cetek pengalaman.
Gabungan Matteo Malucelli dan Gleb Syritsa yang masing-masing mengumpul 10 kemenangan peringkat dalam LTdL sepanjang 2023 hingga 2025, dan dengan bantuan Lev Gonov serta pelumba muda, Alessio Dalle Vedove, pasukan berdaftar di Qazakhstan itu dilihat memasang sasaran dalam henjutan terakhir berama-ramai di laluan landai.
Pelumba Equador berusia 25 tahun, Harold Martin Lopez pula diharap mampu mengejar kedudukan terbaik dalam klasifikasi individu keseluruhan (GC), bersama-sama pemenang Peringkat 8 LTdL25 dari Tangkak ke Kuala Lumpur, Aaron Gate.
Pelumba kelahiran Itali, Malucelli, 32, yang penuh pengalaman, dilihat masih berada pada tahap terbaiknya dan berkesempatan bersaing dalam Giro d’Italia 2026, begitu juga pelumba Russia, Syritsa, 26, yang mencatat kemenangan peringkat terbarunya di Baku-Khankendi Tour of Azerbaijan, Mei lalu.
Pelumba Russia Gonov, 26, yang turut beraksi pada LTdL25 dan menduduki tangga ke-50 dalam senarai GC, dan pelumba New Zealand, Gate, 30, diharap memacu Lopez ketika pendakian atau mengepalai teraju depan Astana sebelum membuka ruang untuk Malucelli atau Syritsa menjelang tiba di garisan penamat.
Berbeza pula dengan Picnic yang menggegar dalam penampilan pertama pada 2024 menerusi pemenang jersi keseluruhan dari Britain Max Poole, kali ini menyenaraikan hanya dua pendaki tulen iaitu Tim Naberman, 27, dan pelumba Colombia berusia 21 tahun, Guillermo Juan Martinez.
Naberman diberi kesempatan beraksi dalam Giro d’Italia Mei lalu tetapi sekadar menduduki tangga ke-132 manakala Martinez pula mendapat peluangnya berkayuh dalam Vuelta a Espana 2026 selepas beraksi baik menduduki tempat ke-16 keseluruhan dalam Volta ao Algarve pada Februari, dan ke-20 di Tour de Pologne, bulan lalu.
Pelumba kelahiran Australia, Matt Dinham yang berada di tangga ke-15 keseluruhan pada LTdL25 lalu, dilihat bakal bergelut untuk memulihkan tahap kecergasannya selepas mengalami kecederaan kaki pada Tour de Suisse, Jun lalu.
Tiga lagi pelumba pecut Picnic dalam senarai yang dibawa pengurus Melvin Pulliere itu nanti ialah pelumba Ireland berusia 27 tahun Dillon Corkery; dan dua pelumba muda Belanda, Milan de Cuester, 20, dan Mees Vlot, 21.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Seksretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, walaupun Astana dan Picnic adalah pasukan berstatus WorldTeam, objektif dan strategi utama mereka kali ini mudah dibaca.
“Amat jelas Astana yang menampilkan Malucelli dan Syritsa, selain Gate dan Gonov memberi perhatian lebih untuk mencari kemenangan peringkat di laluan landai.
“Tetapi dengan tiga peringkat pendakian yang sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands, strategi ini mungkin memakan diri sekiranya tahap kecergasan pelumba pecut mereka tidak pulih sepenuhnya selepas pendakian,” kata Emir dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai rekod, 19 pelumba tersingkir kerana lebih masa (Outside Time Limit) pada Peringkat 4 Kuala Kubu Baru ke Bentong di LTdL24, selepas mengharungi pendakian ke Cameron Highlands, sehari sebelumnya.
Mengenai Picnic pula, Emir berkata pasukan itu kurang menyerlah pada tahun ini dan sehingga 9 September lalu mereka menduduki ranking ke-30, jauh di belakang pasukan WorldTeam lain serta beberapa pasukan ProTeam yang turut bersaing di LTdL26 ini.
“Situasi mereka seakan terdesak untuk memungut mata sebanyak mungkin dan senarai awal enam pelumba mereka tampak kurang meyakinkan, tetapi saya percaya pasti berlaku rombakan beberapa nama pelumbanya beberapa hari sebelum terbang ke Malaysia,” katanya.
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 September ini, dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.
Jelajah edisi ke-30 LTdL26 itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). – MalaysiaGazette















