JAKARTA – Hubungan Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik merangkumi industri halal, pembangunan desa, pengurusan bencana serta pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan kerja beliau ke Jakarta kali ini menjadi kesinambungan kepada usaha mempererat hubungan dua negara serumpun, selain memperluas kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Beliau berkata, antara agenda utama lawatan itu adalah memperkukuh ekosistem halal serantau menerusi penglibatan dalam Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5.
“Lawatan kali ini menjadi kesinambungan kepada usaha memperluas kerjasama dalam beberapa bidang strategik termasuk industri halal, pembangunan desa, pengurusan bencana serta pendidikan dan TVET,” katanya menerusi satu hantaran terbaru di Facebook rasminya hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau turut dijadualkan menyampaikan ucaptama serta menjadi panel dalam sesi forum pada H20 Ke-5 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dan ekosistem halal serantau.
“Selain agenda halal, beberapa pertemuan lain turut diatur sepanjang lawatan berkenaan bagi membincangkan perkara yang berkepentingan bersama,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selamat tiba di Jakarta dan disambut Kepala Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Republik Indonesia, Dr. Ir. Ahmad Haikal Hassan; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzafar Shah Mustafa serta perwakilan Malaysia.
Ahmad Zahid turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat kepada wakil Presiden Republik Indonesia, Gibran Rakabuming Raka bagi membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama melibatkan Malaysia dan Indonesia.
Beliau berharap setiap pertemuan dan perbincangan sepanjang lawatan itu dapat menghasilkan manfaat yang dapat dirasai rakyat kedua-dua negara.
“Semoga setiap pertemuan dan perbincangan yang berlangsung dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, sekali gus terus memperkukuh hubungan dua negara serumpun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















