KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membantah keras keputusan Amerika Syarikat (AS) menafikan visa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu tidak wajar dilihat sekadar sebagai isu kemasukan ke wilayah AS sebaliknya mempunyai implikasi lebih besar terhadap prinsip kesaksamaan penyertaan dalam forum antarabangsa.
Beliau berkata, Perhimpunan Agung PBB bukan forum milik mana-mana kuasa besar, sebaliknya merupakan organ utama PBB yang menghimpunkan 193 negara anggota untuk membincangkan isu keamanan, konflik dan masa depan sistem antarabangsa.
“MAPIM menolak penggunaan sekatan visa sebagai instrumen untuk mengehadkan suara Palestin di forum antarabangsa.
“Jika AS mempunyai bantahan terhadap dasar, tindakan atau pendirian Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
“Perbezaan itu hendaklah dibahaskan secara terbuka melalui saluran diplomatik dan institusi antarabangsa yang berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Azmi, keputusan menafikan visa itu dilaporkan berlaku untuk tahun kedua berturut-turut, selain AS melanjutkan sekatan visa terhadap pegawai PA dan anggota PLO.
Sebelum ini, Washington memberikan alasan termasuk tindakan PA dan PLO berkaitan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“PA dan PLO terkait untuk mendapatkan pengiktirafan Palestin di luar rundingan, pembayaran kepada tahanan Palestin dan keluarga mereka serta dakwaan berkaitan pengagungan keganasan,” katanya.
Bagaimanapun perbezaan pendirian tersebut tidak seharusnya digunakan untuk menghalang kepimpinan Palestin daripada menyampaikan pandangan dalam forum tertinggi dunia.
Tegasnya, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah sama ada kuasa visa sebuah negara tuan rumah boleh menentukan siapa yang boleh hadir dan bersuara dalam persidangan rasmi PBB.
“Jangan jadikan hak untuk hadir dan bersuara di PBB sebagai alat tawar-menawar politik,” katanya.
Beliau turut menegaskan Palestin mempunyai status negara pemerhati bukan anggota (non-member observer State) di PBB dan telah lama mengambil bahagian dalam kerja Perhimpunan Agung.
“Isu Palestin juga bukan semata-mata pertikaian dua hala antara Palestin dan AS kerana ia telah menjadi agenda antarabangsa di PBB selama beberapa dekad,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM menggesa Setiausaha Agung PBB, Presiden Perhimpunan Agung serta negara anggota mengambil perhatian serius terhadap implikasi keputusan berkenaan.
“MAPIM menyeru PBB memastikan Mahmoud Abbas dan delegasi Palestin dapat mengambil bahagian secara bermakna dalam Perhimpunan Agung.
“Ini termasuk melalui mekanisme penyertaan secara langsung sekiranya kehadiran fizikal terus dihalang,” katanya.
MAPIM turut menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara yang menyokong Palestin menyatakan bantahan diplomatik secara jelas serta terkoordinasi.
Mohd Azmi berkata, isu tersebut perlu dilihat melangkaui individu Mahmoud Abbas kerana ia menyentuh persoalan lebih besar mengenai integriti sistem multilateral.
“PBB mesti kekal sebagai rumah bersama masyarakat antarabangsa, bukan ruang yang pintunya boleh dibuka dan ditutup mengikut kehendak satu kuasa.
“Palestin mesti didengar. Suara Palestin mesti hadir. Keadilan untuk Palestin tidak boleh disenyapkan dengan sekatan visa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















