KUALA LUMPUR – Misi Hayat Syam telah memberi manfaat kepada seramai 5,100 penduduk Syria dan pelarian Palestin di Lubnan yang dilaksanakan Global Hayat dari 3 hingga 13 September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, misi tersebut disertai empat wakil rasmi Global Hayat dan lapan sukarelawan Malaysia dari United Kingdom (UK) di bawah kempen Haqq Initiative.
Katanya, ia bertujuan menyalurkan sokongan moral dan bantuan fizikal kepada rakyat Syria yang sedang membina semula kehidupan serta menyantuni pelarian Palestin di Lubnan.
“Agihan bantuan menyasarkan sembilan lokasi iaitu enam kem di Lubnan membabitkan El Buss, Burj Shemali, Rashidieh, Burj Barajneh, Shatila dan Ein El Hilwah serta tiga kem di Syria iaitu Yarmouk, Asali dan Homs.
“Kehadiran kami ini bukan sekadar membawa bantuan tetapi sebagai mesej kepedulian dan kebersamaan kita dalam perjuangan membebaskan bumi Syam yang diberkati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Farhan, antara bantuan yang disalurkan menerusi misi itu ialah 600 kotak makanan, 600 set makanan panas serta 200 beg sekolah berserta kelengkapan persekolahan.
“Selepas bertahun-tahun menghadapi krisis dan peperangan, rakyat Syria kini sedang cuba bangkit semula membina kehidupan baharu
“Namun, akses kepada keperluan asas kekal menjadi satu cabaran yang besar dan situasi yang sama turut menekan pelarian Palestin di Lubnan yang terpaksa berdepan kesukaran demi kelangsungan hidup,” katanya. – MalaysiaGazette
















