DUBAI – Real Madrid mengeluarkan lambang salib pada logo kelab sebagai  sebahagian daripada perjanjian untuk pakaian baharunya di  tujuh buah negara Timur Tengah.

Pemenang piala Juara-juara Eropah yang ditaja syarikat penerbangan, Emirates itu memuktamadkan perjanjian tersebut dengan pembuat pakaian, Marka.

Kelab tersebut memberi hak eksklusif kepada firma yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu untuk menghasil dan menjual produknya di UAE, Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Oman.

Ia hanya memerlukan perubahan kecil pada logo asal yang memaparkan salis kecil, kata Naib Pengerusi Marka, Khaled al-Mheiri kepada Reuters.

“Kami perlu sensitif kepada negara Teluk yang sensitif dengan produk yang mempunyai salib,” kata al-Mheiri.

Perjanjian tersebut merangkumi pakaian seperti baju-T, baju polo dan pakaian renang, bagaimanapun ia tidak meliputi jersi replika yang dihasilkan oleh Adidas yang dijual dengan memaparkan salib pada logonya.

Ia bukannya kali pertama Real mengeluarkan salib disebabkan oleh pelabur yang berasal dari UAE. Real melakukan perkara yang sama ketika kelab itu melakukan urusniaga lumayan dengan National Bank of Abu Dhabi pada 2014. – MalaysiaGazette