Mek Som (duduk, kanan) menjual ikan darat di tepi jalan laluan Pasir Mas-Tanah Merah

PASIR MAS – Banjir bukan saja mendatangkan musibah tetapi bencana itu juga memberi rezeki kepada penduduk.

Asalkan rajin, ada usaha di mana sahaja dan apa sahaja yang ada di depan mata itulah rezeki yang boleh menjadi sumber pendapatan untuk menyara diri serta keluarga.

Bagi penduduk Kampung Batu Hampar, Tok Uban, dekat Pasir Mas, Kelantan, mereka memanfaatkan sepenuhnya hari-hari sepanjang musim tengkujuh.

Anak ikan dijual menggunakan gelas kaca sebagai sukatan
Anak ikan dijual menggunakan gelas kaca sebagai sukatan

Sama ada hujan atau panas, mereka turun dari rumah memasang pusat dan jaring di sungai, tali air dan bendang.

Ini kerana, peluang untuk menangkap ikan darat dan ikan sungai hanya datang sekali setahun iaitu pada musim tengkujuh serta banjir.

Ketika inilah, bermacam jenis ikan sungai dan ikan darat terjerat di pukat serta terperangkap dalam jaring.

Hasil tangkapan pula tentunya berbaloi kerana orang ramai di luar sana lebih berminat membeli ikan darat atau ikan sungai berbanding ikan laut, yang ketika ini harganya melambung tinggi dua tiga kali ganda.

Jaring dipasang berhampiran pintu kunci air untuk menangkap anak ikan
Jaring dipasang berhampiran pintu kunci air untuk menangkap anak ikan

Bagi Mek Som Salleh, 56, dia menjual ikan darat yang ditangkap anak dan suaminya sejak awal bulan ini lagi iaitu ketika musim tengkujuh mula melanda Kelantan.

Katanya, anak ikan itu dijual menggunakan sukatan gelas kaca manakala ikan sungai dijual mengikut saiz.

“Untuk anak ikan, makcik jual tiga sukatan gelas untuk RM5. Ikan sungai pula biasanya dari RM3 hingga RM7 seekor bergantung kepada saiz.

“Tak sampai dua jam, semua anak ikan ini habis dijual. Orang ramai suka ikan darat dan sungai kerana keenakannya dalam musim tengkujuh dan banjir ini membuka selera,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Antara anak ikan yang ditangkap ialah jenis seluang, sempilai, sepat, belida, lapam, chemperas, rung, brek dan hampala.

Untuk menangkap anak ikan itu, mereka hanya perlu mengguna jaring yang dipasang di permukaan pintu kunci air manakala pukat pula ditahan di bendang atau tebing sungai untuk mendapatkan ikan lebih besar.

Ikan darat dan sungai sangat laris pada musim tengkujuh, bahkan tidak menang tangan Mek Som mengambil pesanan orang ramai yang berminat untuk mendapatkan tenggalan, haruan, keli, tebal sisik dan sebagainya. – MalaysiaGazette