KUALA LUMPUR – Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri membuktikan sepakan percumanya bukan sekadar nasib sebaliknya terus berbisa ke gawang gol lawan.
Faiz, 29, hampir mengulangi kehebatannya apabila sekali lagi menghasilkan cubaan ‘melanggar hukum fizik’ ketika perlawanan Liga Super ketika Pulau Pinang menentang Perak, Jumaat lalu.
Aksi itu dapat dilihat aoabila dia melakukan sepakan seakan sama dengan gol yang menobatkannya anugerah berprestij itu ketika aksi di Stadium Negeri, Batu Kawan.
Berpunca daripada sepakan percuma, rembatan Faiz sekali lagi melencong dan mengelirukan penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim yang terpaksa melayangkan badan untuk menyelamatkan cubaan terbabit.
Sepakan Faiz itu kini menjadi tular di laman sosial dengan ramai yang menganggap sekiranya sepakan itu berjaya menerjah gawang, dia mampu untuk disenarai bagi anugerah itu pada tahun ini.
Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu masih segar dengan memori manis menggondol anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan di Zurich, Switzerland awal bulan ini.
Faiz dinobat pemenang Anugerah Puskas menerusi sepakan ajaibnya dilakukan ketika menentang Pahang dalam aksi Liga Super, pada 16 Februari tahun lalu.
Dia muncul warga Asia pertama memenangi anugerah terbabit yang lazimnya di dominasi pemain ternama dunia antaranya Cristiano Ronaldo dan Zlatan Ibrahimovic.
Sementara itu, Pulau Pinang tewas pada perlawanan itu dengan keputusan 1-0 dan ia adalah kekalahan kedua skuad bimbingan Ashley Westwood pada musim ini. – MalaysiaGazette