BUKIT MERTAJAM – Bayi lelaki yang baru lahir, memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM110,000 bagi menjalani pembedahan segera akibat kecacatan jantung serius.
Mohamad Noah Zayyan Mohamad Zulkifli dari Yan, Kedah itu dilahirkan secara normal pada 13 Januari lalu, namun menunjukkan tanda-tanda masalah tersebut sebaik dilahirkan.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, sejurus lahir, Mohamad Noah Zayyan segera ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) susulan seluruh badannya menjadi kebiruan akibat kekurangan oksigen.
Jelasnya, bayi itu kemudian disahkan mengalami transposisi arteri besar (TGA), kecacatan septum atrium (ASD), kecacatan septum ventrikel (VSD) dan ‘patent ductus arteriosus’ (PDA).
“Doktor telah melakukan pembedahan ‘balloon atrial septostomy’ (BAS) sehari selepas dia lahir untuk melanjutkan hayatnya sementara menunggu pembedahan utama.
“Pembedahan utama perlu dibuat sebelum usianya mencecah satu bulan dan jika tidak dilaksanakan, jantungnya berisiko gagal berfungsi serta tiada rawatan lain yang dapat menyelamatkannya lagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Sui Hau, keluarga Mohamad Noah Zayyan amat berharap dapat melihat anak pertama mereka itu dapat meneruskan hidup, namun tidak mampu menampung kos pembedahan sangat tinggi.
“Kita berbesar hati untuk membantu keluarganya mengumpul dana pembedahan sebanyak RM110,000 daripada sumbangan orang ramai.
“Bapa bayi, Mohamad Zulkifli Ibrahim, 31, bekerja sebagai penyelia scaffolding dengan pendapatan sekitar RM4,600 sebulan dan ibunya, Siti Nur Nadia Hasmizam, 23, suri rumah,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi talian hotline, 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192. – MalaysiaGazette