Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Datuk Iskandar Abd. Samad meminta polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi penjelasan berhubung satu pesta melibatkan warga Indonesia di Kampung Pandan semalam dan hari ini.

Katanya, penganjuran majlis yang dikatakan mengganggu ketenteraman awam penduduk sekitar itu tidak pernah dimaklumkan kepadanya dan beliau mengetahui melalui aduan penduduk serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pandan.

“Sebagai ADUN kawasan itu, saya telah memohon penjelasan dari polis dan MPAJ. Penganjuran majlis itu tidak pernah dimaklumkan kepada saya,” katanya dalam kenyataan balas kepada media di sini hari ini.

Semalam, seorang penduduk Kampung Pandan membuat aduan kepada Iskandar mengenai satu majlis warga Indonesia yang berlangsung dari semalam hingga hari ini.

Penduduk itu mengadu, majlis berkenaan telah mengganggu masyarakat tempatan kerana bunyi musik yang dimainkan secara live hingga ke larut malam.

Walaupun majlis itu dipercayai kenduri perkahwinan, tetapi ia seperti pesta dangdut yang dihadiri oleh ribuan pengunjung.

“Jika Datuk (Iskandar) masih tidak tahu, lokasi majlis adalah di tanah lapang di antara gelanggang futsal dan IKS Kampung Pandan.

“Saya mahu penjelasan sama ada majlis itu telah mendapat kelulusan pihak polis atau MPAJ,” kata penduduk itu dalam aduannya.

Beliau juga mempersoalkan dan mahukan penjelasan kenapa Ahli Majlis Kampung Pandan, Ahmad Fauzi Khamis dan ketua kampung berkenaan, Abu Hanifah Abdul Rahman gagal bertindak atau mereka telah meluluskan majlis itu.

Katanya, sebagai ADUN, Iskandar perlu menjawab kepada penduduk Kampung Pandan mengenai majlis itu kerana ia bukan kali pertama warga Indonesia mengadakan pesta besar-besaran di penempatan itu.

Mengulas lanjut, Iskandar berharap, polis dapat menyiasat kes itu kerana dibimbangi majlis seumpama itu akan menimbulkan pertembungan antara penduduk tempatan dengan warga Indonesia.

“Saya harap, polis dan MPAJ perlu sentiasa melakukan pemantauan kerana keharmonian dalam kalangan penduduk kampung mesti dikekalkan,” katanya. – MalaysiaGazette